Di Manila, Filipina, seorang remaja perempuan berumur 17 tahun berkemungkinan menjadi buta akibat penyakit misteri selepas dia memicit tompok kecil seakan jerawat di hidungnya kira-kira setahun lalu.
Menerusi laporan The Sun Uk, sejak insiden tersebut, wajah Mary Ann Regacho berubah dan membengkak sehingga dia sukar untuk dikenali.
Sangka jerawat hanya ketumbuhan biasa
Menurut remaja dari wilayah Nueva Ecija itu, pada awalnya dia menyangka jerawat berkenaan cuma satu ketumbuhan biasa disebabkan perubahan hormon selepas dia melahirkan bayi lelaki pada usia 16 tahun. Bagaimanapun, selepas memicit jerawat itu, hidungnya menjadi sakit selama beberapa hari sebelum bengkak dan mula merebak ke muka.
Saya rasa muka menggelembung seperti belon. Saya ingatkan jerawat biasa tetapi ia amat menyakitkan sehingga tidak dapat tidur malam. Saya sudah cuba pelbagai cara untuk merawatnya tetapi tiada yang berhasil. Saya bimbang wajah saya tidak akan kembali normal.
Ketumbuhan misteri pada wajah Mary Ann itu sudah menutupi hampir keseluruhan mukanya dan dilaporkan mula memberi kesan kepada kedua-dua matanya. Tambahnya, dia kini sedang berusaha untuk merawat masalah muka bengkak dengan menggunakan ubat-ubatan herba di rumahnya. Namun, usaha itu masih gagal.
Tak mampu dapatkan rawatan
Menurut suami Mary Ann iaitu Albert Sales yang bekerja sambilan di ladang jiran tanpa sumber pendapatan tetap menyatakan mereka sebenarnya tidak mampu mendapatkan rawatan hospital. Pasangan muda ini juga pernah memeriksa masalah wajah bengkak tersebut di sebuah hospital di daerah berkenaan tetapi petugas perubatan gagal mengenal pasti penyakit tersebut.
Sebagai suami, Albert merayu sumbangan orang ramai untuk membolehkan dia membawa isterinya untuk mendapatkan rawatan di hospital besar yang lebih sesuai.
Sumber: The Sun Uk