Seperti yang kita semua tahu, program vaksinasi Covid-19 di kalangan kanak-kanak telah pun giat dijalankan dan sehingga 21 April yang lalu dianggarkan sekitar 24.6% kanak-kanak di seluruh negara telah menerima dos pertama suntikan1.
Tapi mungkin masih ada ibu bapa dan para penjaga yang keliru tentang langkah penjagaan yang perlu diambil sebelum dan selepas vaksinasi Covid-19 ini.
Sebenarnya tak susah pun, korang hanya perlu ikuti beberapa langkah penjagaan sebelum dan selepas vaksinasi Covid-19 untuk para kanak-kanak seperti yang kami kongsikan di bawah.
Sebelum vaksinasi
Rehat secukupnya & pastikan tubuh sihat sebelum vaksinasi.
Berehat, makan dan minum secukupnya bagi membantu mengatasi ketidakselesaan semasa vaksinasi
Elak dari mengambil sebarang ubat over the counter (OTC) sebelum vaksinasi COVID-19
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) tidak mengesyorkan pengambilan sebarang ubat over-the-counter (OTC) SEBELUM vaksinasi Covid-19 dengan tujuan mengelakkan sebarang ketidakselesaan2. Ini kerana tidak ada kepastian bagaimana ubat-ubatan OTC akan memberi kesan terhadap keberkesanan vaksin.
Periksa keadaan kesihatan dan kegunaan ubat-ubatan dengan doktor
Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dibenarkan untuk kegunaan Kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun. Sementara untuk keadaan tertentu, kanak-kanak juga layak untuk menerima suntikan vaksin Sinovac terutama sekali buat mereka yang mempunyai alahan serta tidak sesuai untuk menerima vaksin Pfizer-BioNTech.
Kanak-kanak yang mempunyai keadaan kesihatan seperti di bawah pula perlu mendapatkan pandangan pegawai perubatan terlebih dahulu sebelum menerima vaksin3.
Individu yang mempunyai sejarah alahan teruk
Alahan teruk terhadap mana-mana vaksin sebelum ini
Mengalami masalah pendarahan seperti Haemophilia, Idiopathic Thrombocytopenic Purpura (ITP) dan sebagainya
Sedang dalam rawatan ubat pencair darah
Menerima vaksin dari jenama yang lain
Sedang dalam apa-apa jenis rawatan yang merendahkan sistem imun badan
Sejarah penyakit myocarditis dan pericarditis
Selepas vaksinasi
Minum banyak air & rehat secukupnya
Minum air secukupnya dan pastikan badan kekal terhidrat adalah salah satu cara yang dapat membantu mengelakkan badan dari berasa sakit dan memendekkan tempoh serta intensiti simptom selepas vaksinasi. Jika perlu, ambil cuti selama satu atau dua hari dan berehat di rumah
Elakkan aktiviti fizikal yang berat sejurus selepas vaksinasi
Jangan lakukan aktiviti fizikal dan senaman yang berat. Namun, senaman ringan atau sederhana adalah dibenarkan jika badan berasa sihat selepas suntikan vaksin COVID-19.
Sedia hadapi simptom pasca vaksinasi
Lazimnya kanak-kanak akan mengalami beberapa simptom selepas vaksinasi Covid-19 seperti rasa sakit, kemerahan serta bengkak di tempat suntikan. Mereka juga mungkin berasa keletihan, sakit kepala, sakit otot, menggigil, demam dan loya yang akan hilang dalam beberapa hari.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham mengingatkan ibu hapa agar berhati-hati dengan radang jantung (miokarditis) dan perikarditis di kalangan kanak-kanak selepas vaksinasi COVID-19, bagaimanapun ianya sangat jarang berlaku
Sekiranya anak mengalami kesukaran bernafas, sakit dada dan degupan jantung yang laju, sila bawa anak segera ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera4.
KKM dan pihak berkuasa kesihatan awam yang lain di seluruh dunia termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pengambilan Paracetamol sebagai salah satu langkah rawatan untuk demam dan kesakitan selepas suntikan vaksin COVID-19. Ianya sesuai untuk diambil untuk majoriti peringkat usia, termasuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun5.
Untuk melegakan rasa sakit di tempat suntikan pula, ambil kain yang bersih dan basah atau sejuk kemudian letak di tempat suntikan. Boleh juga lakukan gerakan ringan menggunakan tangan dan elak daripada menggos0k atau mengurut tempat yang disuntik.
Pantau tahap kesihatan & berhati-hati dengan simptom selepas vaksinasi COVID-19 yang teruk
Sila lapor sebarang kejadian kesan sampingan di aplikasi MySejahtera dan dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital berdekatan sekiranya gejala kesan sampingan berpanjangan atau semakin teruk.
Buat mereka yang mengalami kesukaran untuk bernafas, sakit dada, terjadi pembengkakan muka, bibir dan tekak, jantung berdenyut laju atau ruam teruk timbul di seluruh badan sila hubungi perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan segera.
Golongan yang mengalami tindak balas alahan yang teruk selepas menerima dos pertama vaksin COVID-19 tidak sepatutnya menerima dos tambahan vaksin berkenaan.
Tetap amalkan langkah berjaga-jaga selepas menerima vaksinasi
Tempoh bagi vaksinasi berkesan sepenuhnya
- vaksin dos tunggal: imuniti maksimum melawan COVID-19 biasanya akan berlaku dua minggu selepas beberapa minggu menerima vaksinasi
- vaksin dua dos: kedua-dua dos diperlukan untuk mencapai tahap imuniti tertinggi.
Suntikan vaksinasi buat kanak-kanak adalah penting dan tak boleh diambil mudah, ini bagi memastikan mereka dapat kembali ke sekolah, sertai aktiviti sukan dan kembali bergaul dengan teman-teman memandangkan kita sudah memasuki fasa endemik.
Cara ini juga secara tidak lansung bukan sahaja bakal melindungi anak-anak malah ianya dapat mengurangkan risiko kebejangkitan dikalangan masyarakat.
Ingat kita belum menang, aadi ayuh kita jaga kesihatan bersama :)
1 https://covidnow.moh.gov.my/vaccinations/
2 https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/expect.html?CDC_AA_refVal=https%3A%2F%2Fwww.cdc.gov%2Fcoronavirus%2F2019-ncov%2Fvaccines%2Fprepare-for-vaccination.html
3 https://www.infosihat.gov.my/images/media_sihat/garis_panduan/pdf/factsheet%20pickids.pdf
4 https://www.infosihat.gov.my/images/media_sihat/garis_panduan/pdf/factsheet%20pickids.pdf
5 http://www.myhealth.gov.my/en/paracetamol-2/