Sekadar gambar hiasan
Pelakon dan pengacara senior iaitu Jaafar Onn menerusi satu video yang dikongsikan di TikTok memberikan pandangannya berhubung pewartaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai penggunaan pelitup muka dengan cop SIRIM.
‘Kenapa pula sekarang nak begitu?’
Menerusi video yang dimuat naik, pengacara berusia 71 tahun ini seakan kurang setuju dengan pewartaan tersebut yang dianggap tidak sesuai diaplikasikan di Malaysia. Hal ini kerana, kebanyakan rakyat Malaysia juga sedang bergelut dengan ekonomi dalam mencari sumber rezeki dan pendapatan untuk seisi keluarga.
Saya nak bertanyalah, adakah patut nak pakai pelitup muka yang ada cop SIRIM pula? Apalah? Benda ini menyusahkan orang. Selama ini tak pernah ada pun SIRIM itu? Kenapa pula sekarang nak begitu?
Bukan itu sahaja, Jaafar Onn juga berpendapat bahawa kemungkinan pewartaan ini dilakukan adalah untuk tujuan perniagaan semata-mata sedangkan selama tiga tahun negara dilanda pandemik, rakyat Malaysia hanya memakai pelitup muka biasa tanpa cop SIRIM.
Saya rasa ini semua bisnes saja ini. Ingat orang Malaysia ini kaya rayakah? Asyik nak kenakan duit pada kita semua. Orang nak cari duit pun susahlah. Apa benda nak cop SIRIM segala bagai?
Selama ini tiga tahun tak pakai yang ada cop itu pun, tak ada apa. Mati lagi adalah.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi satu kenyataan media memaklumkan bahawa pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna. Hal ini bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.
Bagaimanapun, Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan yang sepatutnya dikuatkuasa 4 Julai depan ditangguhkan kepada 1 Januari tahun hadapan.
Video
Sumber: Jaafar Onn