Penyanyi, Nabila Razali memaklumkan individu yang sebelum ini mengejeknya dengan gelaran ‘penyanyi chipmunk’ sudah tampil memohon maaf secara peribadi.

Artikel Berkaitan: ‘Sekarang Ada Anak Fikir Keselesaan Bila Dukung Dia, Pastinya Baju Raya Cantik & Praktikal’ – Nabila Razali

Jaga tutur kata

Nabila, 33, berkata individu berkenaan menghubunginya menerusi mesej peribadi selepas dia berkongsi mengenai insiden tersebut di Threads.

Selepas saya muat naik di Threads, individu itu ada menghubungi saya untuk memohon maaf dan menjelaskan bahawa perkara itu tidak disengajakan.

Malah, dia turut ditegur oleh suaminya sejurus selepas kejadian itu berlaku. Saya percaya dia tiada niat buruk, mungkin sekadar terlalu teruja atau tidak tahu apa yang ingin dibualkan sehingga terlepas kata.

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang yang berlangsung di WTC, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Pematah Hati itu berpendapat setiap individu perlu lebih berhati-hati dalam menjaga pertuturan agar tidak mengguris perasaan orang lain.

Saya tidak perlukan layanan istimewa. Bagi saya, sama ada artis atau orang biasa, kita semua perlu sentiasa menjaga cara bercakap dan bertindak.

Kadang-kadang perkara kecil yang dianggap gurauan boleh memberi kesan besar kepada orang lain.

Tambah Nabila, situasi tersebut bukanlah pertama kali berlaku, namun itu menjadi pengalaman berbeza apabila teguran sedemikian dilontarkan secara bersemuka.

Ini bukan kali pertama saya diejek, cuma sebelum ini saya hanya membaca komen seperti itu di media sosial.

Kali ini ia berlaku secara depan-depan, jadi saya agak terkejut dan tidak tahu bagaimana mahu memberi respons. Perasaan itu bercampur-baur, sama ada mahu ketawa, marah atau hanya berdiam diri.

Terdahulu, Nabila meluahkan rasa kurang senang apabila seorang peminat memanggilnya ‘penyanyi bersuara chipmunk’ sebelum mengajaknya bergambar bersama.