Penyanyi Nabila Razali menekankan bahawa pemilihan busana Aidilfitri kini lebih menitikberatkan kecantikan, keselesaan dan kepraktisan, terutamanya selepas bergelar ibu.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nabila Razali Jawab Kritikan Pakai Tudung Singkat & Berpakaian Jarang – ‘Saya Hanya Manusia Biasa’

Artikel Berkaitan: Nabila Razali Utamakan Kualiti Lagu, Nafi ‘Hard Sell’ Dalam Video Muzik – ‘Bila Dah Melekat Di Telinga, Sudah Cukup Untuk Saya’

Utamakan keselesaan

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Nur Nabila Mohd Razali, 34, berkongsi bahawa jika pada tahun pertama bergelar isteri dia gemar memilih busana yang sarat dengan labuci dan perincian mewah.

Namun, kini keutamaannya berubah memandangkan perlu lebih aktif dalam menguruskan anak kecil.

Untuk pemilihan busana baju raya bagi diri saya, semestinya lebih utamakan yang cantik dan selesa.

Sekarang dah ada anak, jadi kena fikir tentang keselesaan bila mendukung dia nanti.

Macam tahun pertama raya sebagai isteri, baju saya penuh labuci.

Tapi bila dah ada anak kecil, saya tak pilih baju bermanik lagi dah.

Sekarang anak dah pandai berlari, jadi saya cari baju yang kainnya sedikit kembang supaya senang sikit nak kejar dia.

Katanya lagi, walaupun tidak lagi memilih busana bermanik atau terlalu sarat, Nabila tetap memastikan penampilannya kelihatan cantik dan menepati imejnya sebagai figura awam, terutamanya pada pagi raya.

Tapi yang pasti, baju itu kena cantik, selesa, dan praktikal.

Apa pun, saya sebagai seorang public figure, saya tetap kena sentiasa kelihatan cantik pada pagi raya.

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya di Saloma Kuala Lumpur.

Masih sedondon

Mengulas lebih lanjut, pelantun lagu ‘Peluang Kedua’ itu berkata dia masih mengekalkan tradisi mengenakan busana sedondon bersama keluarga, namun tidak terlalu menitikberatkan padanan warna yang sama sepenuhnya.

Keluarga saya masih mengekalkan tradisi pakai baju warna sedondon.

Tona warna itu masih sama, tidaklah terlalu teliti sampai kena sama sebiji warna.

Kalau terlari sedikit, macam cerah sikit pun tak apa, asalkan dapat sambut raya bersama-sama.