Kumpulan Insomniacks bersikap terbuka apabila peminat bertindak menyunting gambar mereka menggunakan kecerdasan buatan (AI) meskipun foto tersebut kelihatan mesra.

Artikel Berkaitan: ‘Seperti Dulu’ Surat Cinta Istimewa Insomniacks Untuk Peminat

Artikel Berkaitan: Dibanjiri 2,400 Penonton, Konsert ‘Insomniacks – Echoes Of A Dream’ Bikin Zepp Kuala Lumpur Bergema

Trend terkini

Ketika ditemui OhBulan!, vokalis kumpulan iaitu Iqie atau nama sebenarnya Syed Mir Iqbal, 28, mengakui suntingan gambar menggunakan AI kini telah menjadi salah satu trend dalam teknologi digital.

Bagaimanapun, Iqie percaya peminat tidak pernah bertindak melampaui batas dan masih menghormati mereka.

Sebelum ini pun pernah ada gambar digabung menggunakan AI. Itu memang trend sekarang.

Tapi saya percaya mereka buat begitu pun untuk suka-suka sahaja, tidak lebih daripada itu.

Penyokong kami sangat menghormati dan tidak pernah buat perkara di luar batas. Mereka semua ‘cool’ dan matang.

Menurut Iqie, Insomniacks juga banyak menerima pelbagai hasil seni daripada peminat dan mereka amat menghargai setiap hadiah yang diberi.

Banyak kali juga kami terima hasil seni daripada mereka, termasuk lukisan, kolaj dan hadiah buatan tangan.

Semua dibuat sendiri, dan itu sesuatu yang kami sangat hargai. Itu sudah menjadi tanda kasih peminat terhadap kami.

Iqie berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Malam Simfoni Luka yang diadakan di ibu kota, baru-baru ini.

DM peminat

Sementara itu, pelantun lagu Pulang tersebut turut memaklumkan bahawa mereka sering dihujani dengan mesej-mesej dari peminat di media sosial.

Bagaimanapun, Insomniacks tidak menganggap perkara itu sebagai gangguan malah ia adalah bukti kepada kesetiaan peminat mereka.

Kebanyakan mesej bukan benda pelik, selalunya mereka kongsi cerita hidup, minta nasihat atau sekadar bersembang. Kadang-kadang kami balas, kadang tidak, bergantung pada masa.

Kalau dalam Instagram, susah nak tengok semua, tapi kalau dalam Telegram (platform rasmi kelab peminat), kami akan cuba juga balas. Semua bergantung pada keadaan

Kalau boleh, memang nak balas semua mesej. Tapi bila terlalu ramai, kami pilih untuk periksa mesej yang nampak penting atau serius. Kadang-kadang kami kena juga ambil tahu kalau ada peminat yang betul-betul perlukan semangat.