
Kumpulan Insomniacks meluahkan rasa syukur apabila dinobatkan sebagai Artis Domestik Paling Tinggi Distrim sepanjang tahun 2025, sekali gus mencatat satu pencapaian terbaik dalam perjalanan karier seni mereka.
Artikel Berkaitan: Insomniacks Tak Ambil Pusing Peminat Sunting Gambar Guna AI – ‘Mereka Tak Pernah Buat Perkara Di Luar Batas’
Artis Domestik Paling Tinggi Distrim
Menurut Iskandar selaku pemain bass, kejayaan tersebut benar-benar di luar jangkaan mereka memandangkan sebelum ini Insomniacks hanya berada dalam kelompok tiga atau lima teratas.
Jelas Iskandar, kejayaan itu selari dengan matlamat kumpulan mereka yang sentiasa mahu berkembang dari tahun ke tahun.
Ini kali pertama kami dapat nombor satu. Sebelum ini, kami berada di top tiga atau top lima. Baru dapat tahu, jadi agak mengejutkan. Bersyukur dan gembira.
Tujuan kami adalah untuk terus berkembang setiap tahun, dan pencapaian ini memang menakjubkan.
Sementara itu, seorang lagi anggota Insomniacks iaitu Danial berkata, mereka kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada perancangan dan projek baharu bagi tahun 2026.
Tahun 2026, kami sedang fokus pada projek kami. Semoga kami dapat teruskan kerjaya ini dan peminat menjadi kekuatan kami.
Alhamdulillah. Orang ramai suka lagu kami. Setakat ini, karya kami tidak terus meletup, tetapi ia berkembang secara perlahan-lahan.
Iskandar dan Danial berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama siri Viu Original, Sesaat Lebih yang berlangsung di 1 Utama, Petaling Jaya, pada Rabu.
Peminat nadi kekuatan
Dalam pada itu, Danial turut percaya lagu Insomniacks mempunyai jangka hayat yang panjang kerana memerlukan masa untuk benar-benar melekat di hati pendengar.
Saya percaya lima tahun kemudian, orang akan masih mendengar lagu kami. Kami rasa begitu kerana orang memerlukan masa untuk mengenali lagu-lagu kami. Lagu kami perlu didengar beberapa kali dan selepas itu barulah mereka menyukainya.
Lagu-lagu kami menjadi lebih besar apabila orang mendengarnya dan mencipta cerita mereka sendiri. Apabila mereka melalui pengalaman hidup, mereka boleh mengaitkannya dengan lagu tersebut. Dari situ, lagu itu menjadi lebih bermakna dan lebih besar.
Bercerita lanjut, Iskandar memberitahu Insomniacks akan sentiasa menjaga hubungan baik bersama peminat yang selama ini menjadi tulang belakang mereka.
Kami berkawan dengan peminat, berbual seperti kawan. Kami tidak terlalu banyak membuat hantaran. Lebih kepada berbual dalam grup Telegram dan banyak berinteraksi dengan peminat ketika ada persembahan.
Terdahulu, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari dinobatkan sebagai Lagu Domestik Paling Tinggi Distrim, manakala Insomniacks sebagai Artis Domestik Paling Tinggi Distrim.