Penderitaan adik Muhammad Hafizuddin atau Hafiz dari Terengganu yang diuji penderitaan penyakit saraf sejak lima tahun lalu mendapat perhatian pelakon dan usahawan, Ahmad Iqbal Zulkefli.
Artikel Berkaitan: Wajah Berbeza Dengan Adik-Beradik, Iqbal Zulkifle Dituduh ‘Anak Pungut’ – ‘Saya Terasa Orang Cakap …’
Artikel Berkaitan: ‘Staf Turun Guna Tangga, Saya Guna Lif’ – Rasa Gegaran Gempa Bumi Di Indonesia, Iqbal Tak Berani Nak Tidur Seorang Diri
Perasaan hiba
Menurut Iqbal, dia dan Yayasan Ikhlas (YI) telah berkunjung ke kediaman adik Hafiz di Kuala Terengganu pada beberapa minggu lalu.
Kata Iqbal, 29, dia mengetahui tentang nasib kurang baik adik Hafiz ini melalui warganet di media sosial dan tanpa berfikir lama terus turun padang untuk membantu.
Sebelum bekerjasama dengan YI, nama saya turut dipetik di kalangan warganet untuk membantu adik Hafiz. Tapi saya bersyukur ia dipermudahkan menerusi kerjasama dengan YI ini. Lagipun sementara nama saya dikenali, boleh guna peluang ini untuk ajak masyarakat menderma terus ke YI bagi Kempen BPS ini.
Dari Kuala Lumpur saya terbang Ke Kuala Terengganu untuk menjayakan lawatan bersama YI ke rumah adik Hafiz. Malah sempat juga saya, pihak YI dan sukarelawan universiti mengemas rumah, membaiki bahagian rosak dan mengecat kediaman, membeli peralatan dapur serta katil khas kepada adik Hafiz.
Saya sangat hiba, sedih dan dalam masa yang sama seronok dapat turut membantu. Sebagai pempengaruh, ada kelebihan mempunyai pengikut ramai. Dari situ sebaran info sebegini dapat mensasarkan lebih ramai orang untuk tahu isu yang ada.
Saya berharap lebih ramai pempengaruh atau artis lain dapat turut membantu untuk menyebarkan sebarang mesej yang sebegini. Selain dari itu saya juga menyeru orang ramai turut sama-sama menderma sekecil-kecil nilai bermula RM10 seorang.
Bantu ringankan beban
Tambah pelakon drama Perempuan Itu, kempen sebegini harus diwar-warkan dengan lebih meluas lagi kerana masih ramai rakyat Malaysia yang tersisih dan memerlukan bantuan.
Dengan kempen sebegini orang ramai senang mendapat maklumat untuk sama-sama turut membantu meringankan beban yang ditanggung.
Saya puji usaha YI kerana sama-sama mengambil tanggungjawab untuk menjalankan kempen yang lebih besar kesedarannya bagi mempercepatkan bantuan kepada adik Hafiz. Saya lihat YI juga sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang telus menerusi kempen dan usaha dianjurkan.
Badan jadi kurus kering
Sementara itu, Pengerusi YI, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, kempen murni dipanggil Kempen Bantu Pesakit Sihat (BPS) adalah kempen yang sedang diusahakan saat ini.
Dana yang bakal dikumpul termasuklah pembiayaan adik Hafiz selain disalurkan bantuan dan keperluan kepada beberapa pesakit lain.
Kempen Bantu Pesakit Sihat ini sudah berjalan selama dua tahun lalu, di mana pihak kami (Yayasan Ikhlas) dalam usaha membantu golongan yang tidak berkemampuan ini yang tersisih daripada segi pembiayaan bantuan kewangan dan perubatan.
Ikutkan sudah ramai pesakit yang pihak kami berjaya bantu sejak kempen ini berjalan. Kes adik Hafiz antara yang terpencil kami usahakan baru-baru ini.
Kami berusaha mahu membantu dan mengurangkan beban keluarganya. Kami menyeru orang ramai turut sama-sama ambil tanggungjawab bantu menderma, dan boleh layari https://bantupesakitsihat.com/bantu-hafiz/.
Sementara itu, kesihatan adik Hafiz, 21, dari Kampung Lorong Haji Da, Batu Buruk dilaporkan merosot sejak terjatuh tangga di sekolahnya ketika berusia 16 tahun.
Disebabkan faktor tahap kesihatan, tubuh badan adik Hafiz menjadi kurus kering kerana beratnya hanya sekitar 10 kilogram.
Penderitaan dan sakit yang di alami selama lebih lima tahun ini, asbab berpunca dari jatuh tangga di sekolah ketika adik Hafiz berumur 16 tahun sehingga menyebabkan demam panas. Lima bulan kemudian, dia hilang keseimbangan badan serta berjalan senget.
Musibah yang menimpa ini menyebabkan dia tidak dapat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Lebih menyayat hati, ibunya, Khatijah Muhammad sudah kembali ke rahmatullahi empat tahun lalu akibat penyakit kanser payu udara. Jiwanya semakin runtun apabila ibunya tiada di sisi dan keadaan kesihatannya semakin merosot sehingga tulangnya menjadi rapuh dan kakinya patah tiga.
Kini, bapa adik Hafiz, Ismail Wahab seorang pesara berusia 63 tahun mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga dan menguruskan keadaan anaknya itu.
Mereka tinggal di sebuah rumah yang sangat daif, terletak di Kampung Lorong haji Da, Batu Burok Kuala Terengganu. Dinding rumah berlubang dan bekalan elektrik telah di potong selama setahun.
Ismail menyara hidup, dengan bergantung sepenuhnya dari wang pencen yang berbaki RM800 sebulan serta bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ismail memaklumkan, sebahagian besar wang pencennya di gunakan untuk melunaskan hutang pinjaman bank yang di buatnya untuk membuka kedai makan sejurus bersara empat tahun lalu.
Namun, kedai makan tersebut terpaksa ditutup ekoran kerugian akibat pandemik COVID 19, sekaligus menyebabkannya hilang punca pendapatan Ini antara 1001 kisah manusia yang di uji sakit, daif dan miskin. Atas rasa peduli dan prihatin, YI hadir mendengar keluh kesah, lalu tanpa berlengah menghulurkan bantuan yang diperlukan adik Hafiz.
Untuk rekod, YI hadir memberikan bantuan berkala selama setahun seperti bantuan susu, lampin pakai buang, bantal dan tilam.
Bantuan berkala ini juga akan terus menerus bersama adik Hafiz dan akan mengikuti perkembangan kesihatannya sehingga mendapat berat badan yang lebih baik.
Anggaran kos yang perlu ditanggung bapanya juga adalah sebanyak RM2,000 sebulan.
Sumber: TikTok