berita

Ismahalil Hamzah Bebas Hukuman Gantung, Sujud Syukur Dalam ‘Kandang’

July 17th, 2023 | by Shahrin
Kini Trending

Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis pada September 2021.

Artikel Berkaitan: Ismahalil Menangis Diperintah Bela Diri

Terlepas hukuman

Memetik Berita Harian, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Ismahalil yang berada dalam kandang dikatakan mengalirkan air mata dan melakukan sujud syukur sejurus keputusan dibacakan Muhammad Jamil.

Dalam keputusan ringkasnya, Muhammad Jamil berkata pendakwaan gagal membuktikan bahawa tertuduh mempunyai kawalan dan milikan terhadap dadah dalam sebuah beg yang berada dalam sebuah bilik di rumah sewanya.

Pendakwaan juga gagal membuktikan hanya Ismahalil seorang yang mempunyai akses terhadap bilik terbabit, di mana terdapat individu lain termasuk penyampai radio Bapakku FM, kru dan tetamu juga mempunyai akses sama.

Pada 21 Februari lalu, Ismahalil, 49, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini, pada jam 5.35 petang 27 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×