Penyanyi Jay Jay dikhabarkan sudah selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.
Artikel Berkaitan: Jay Jay Kena Serangan Jantung, Terpaksa Jalani Pembedahan Hari Ini
Artikel Berkaitan: Enam Jam Jay Jay Dalam Bilik Pembedahan
Selamat jalani pembedahan
Menurut isteri Jay Jay iaitu Zaitoon, suaminya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas pembedahan selama enam jam itu tamat.
Alhamdulillah, suami sudah selamat menjalani pembedahan. Doktor akan melakukan pemantauan seterusnya selama 12 jam lagi.
Buat masa sekarang, suami saya masih belum sedarkan diri lagi. Saya akan beritahu jika ada perkembangan seterusnya daripada doktor.
Tambah Zaitoon, mereka sekeluarga sangat terkejut apabila mendapat tahu pelantun suara ‘Cukuplah Sekali’ itu mempunyai masalah jantung.
Saya hanya tahu apabila dia tiba-tiba mendapat serangan jantung, baru-baru ini.
Terdahulu, penyanyi Rozita Rohaizad yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berkata, dia dimaklumkan oleh anak penyanyi itu, Cammy, Jay Jay menjalani pembedahan selama enam jam di IJN sejak jam 8 pagi, semalam.
Rozita berkata, Jay Jay juga sudah dua minggu menjalani rawatan di IJN. Difahamkan, Jay Jay mendapat serangan jantung ringan dan sesak nafas ketika mahu menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.