
Pelakon, Shah Iskandar berkongsi berita sedih apabila memaklumkan bayi dalam kandungan isterinya, Siti Sarah yang berusia 16 minggu disahkan menghidap Sindrom Edwards.
Artikel Berkaitan: Layak Mohon Status Penduduk Tetap Tahun Depan, Shah Iskandar Nafi Guna ‘Cable’ Untuk Permudahkan Urusan
Gugur anak dalam kandungan

Menerusi perkongsian di Instagram, Shah, 43, menjelaskan doktor menasihatinya dan isteri untuk menggugurkan kandungan berikutan risiko tinggi terhadap ibu dan bayi.
Mungkin ada yang tahu atau tidak, isteri saya kini mengandung anak ketiga kami dan kandungan sudah berusia 16 minggu.
Namun, bayi kami disahkan menghidap Sindrom Edwards atau trisomi 18, dalam istilah mudah, bayi mempunyai kromosom berlebihan. Lapisan di belakang leher bayi juga dikesan menebal sehingga 4.8 sentimeter.
Menurut Shah, doktor turut memaklumkan sekiranya menunggu lebih lama boleh membahayakan nyawa isterinya, lebih-lebih lagi wanita itu baru sahaja menjalani pembedahan caesarean lapan bulan lalu.
Doktor menasihatkan kami untuk melakukan pengguguran awal kerana keadaan ini boleh mengancam keselamatan Sarah, selain kadar survival bayi hanyalah sekitar 5 peratus.
Walaupun ada kemungkinan kecil untuk bayi bertahan sehingga tarikh jangkaan bersalin, jangka hayatnya selepas lahir dianggarkan hanya antara enam bulan hingga setahun, itu pun dengan sokongan alat bantuan hayat.
Shah mengakui keputusan tersebut amat berat untuk dibuat, namun dia dan isteri akhirnya akur dengan nasihat pakar demi kebaikan semua pihak.
Dengan berat hati dan setelah mendapat pandangan tegas daripada doktor, kami akhirnya memutuskan untuk meneruskan proses pengguguran.
Kami tidak mahu anak kami menanggung kesakitan hanya untuk bertahan seketika dengan bantuan hayat.
Saya kini berada di Kuala Lumpur kerana kecemasan ini, namun akan segera pulang ke Singapura selepas semuanya selesai.
Sarah telah dimasukkan ke wad sejak malam Isnin dan kini sedang melalui proses induce kali kedua pada jam 5 petang, Selasa.
Dalam pada itu, Shah turut memohon doa orang ramai agar proses menggugurkan kandungan isterinya dipermudahkan.
Mohon semua doakan keselamatan Sarah dan semoga proses ini berjalan lancar. Insya-Allah, kami percaya puteri kecil kami akan menanti kami di syurga nanti.
Saya hanya minta agar semua terus mendoakan isteri saya, Siti Sarah dan anak kami, Maryam Inara.
Sumber: Instagram







