berita

Isteri Tikam Suami Hingga Mati

January 24th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Sinar Harian

Seorang lelaki maut dipercayai ditikam oleh isterinya semalam di sebuah rumah di Rasah Kemayan Golf & Country Township, Seremban. Memetik laporan Sinar Harian, mangsa berusia 56 tahun ditikam di bahagian dada dan pinggang menggunakan senjata tajam.

Maut ditikam isteri

Foto: Sinar Harian

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada anak mangsa yang berusia 18 tahun dengan memaklumkan bahawa bapanya telah ditikam di bahagian dada. Difahamkan, ketika kejadian dua anak pasangan itu berada di lokasi dan menjadi saksi kejadian.

Polis telah ke lokasi untuk siasatan lanjut dan menemui mangsa di bahagian dapur rumah dengan kesan tikaman pada bahagian dada dan pinggang sebelah kiri.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai disebabkan masalah kewangan namun siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan. Sementara menerusi laporan Kosmo Online, mangsa dikatakan tidak bekerja dan sebelum ini bertugas sebagai bekas akauntan syarikat swasta.

Susulan daripada laporan itu, pihak polis telah menahan isteri mangsa berusia 55 tahun dan merampas sebilah senjata yang dipercayai digunakan ketika kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Seremban pada Isnin (hari ini).

Sumber: Sinar Harian, Kosmo Online

SKIP THIS AD ×