Peguam Syarie Nurul, memberi penjelasan bahawa isteri yang tidak bekerja dan suri rumah masih berhak menuntut harta sepencarian berdasarkan sumbangan tidak langsung dalam perkahwinannya dengan arwah suami.
Elak salah faham
Ujar Nurul, para isteri perlu memfailkan perisytiharan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah terlebih dahulu selepas kematian suami.
Ini bagi mengelakkan berlaku salah faham dalam kalangan ahli waris kelak. Takut sekiranya harta-harta yang sepatutnya menjadi milik isteri jatuh ke tangan yang tidak sepatutnya.
Tambah beliau, kedudukan harta sepencarian mendahului faraid kerana lazimnya dalam rumah tangga, hanya suami dan isteri lebih mengenali pasangan mereka berbanding ahli keluarga sendiri.
Hanya pasangan suami isteri lebih mengetahui sumbangan dan pengorbanan suami isteri berbanding ahli keluarga.
Dalam pada itu, beliau berkata, situasi sama terhadap suami apabila isteri meninggal dunia dan mereka juga boleh memfailkan harta sepencarian tersebut.
Sekiranya suami ada membuat sumbangan terhadap mana-mana pemilikan harta dalam perkahwinan, sumbangan secara langsung, maka jika isteri mati, anda boleh juga memfailkan harta sepencarian sebelum harta difaraidkan. Selepas mahkamah memutuskan harta si mati mengikut bahagian harta sepencarian, baki harta tersebut boleh diwasiatkan, dihibah serta difaraidkan sekiranya ada.
Sumber: Peguam Syarie Nurul