Umum mengetahui, penyanyi, Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali sebagai Nana telah memfailkan saman ke atas lima individu termasuk dua rakan selebritinya iaitu Lan Solo dan Syura atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial Instagram. Menurut peguam Siti Nordiana iaitu Abang Azlan Abang Ariffin berkata, kelima-lima defendan terbabit masih tidak diwakili oleh peguam serta tiada kehadiran dan pernyataan pembelaan yang difailkan oleh defendan-defendan setelah writ saman dan pernyataan tuntutan diserahkan kepada kesemua defendan.
Bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut, pihak OhBulan! telah menghubungi peguam yang mewakili Lan Solo, isteri dan kawan-kawannya iaitu Alan Razak.
Masih mempunyai masa
Sebenarnya kesemua defendan telah mendapat writ saman pada 3 Ogos yang lalu. Menurut undang-undang, mereka mempunyai masa 14 hari iaitu 3 Ogos sehingga 17 Ogos untuk memfailkan memorandum kehadiran dan seterusnya mereka mempunyai lagi 14 hari daripada tarikh 17 Ogos untuk memfailkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan balas. Mereka semua masih ada masa sampai 17 Ogos.
Menurut Alan, selaku peguam dia boleh memfailkan memorandum kehadiran pada bila masa-masa bermula daripada 3 Ogos sehingga 17 Ogos ini. Tambah Alan, pengurusan kes yang telah diadakan pada 10 Ogos ini adalah satu tarikh masih belum matang untuk memorandum kehadiran difailkan bagi pihak anak guamnya.
Ujar Alan lagi, terma tidak ‘diwakili peguam’ itu sangat tidak tepat. Ini kerana, terma tersebut hanya boleh digunakan ketika mana kes telah berjalan ataupun pada tarikh yang sepatutnya defendan-defendan memfailkan memo kehadiran telah tamat dan tiada sebarang pemfailan dibuat. Pada masa itu, barulah matang untuk disebut perkataan ‘tidak mewakili’.
Saya dalam proses untuk analisis pernyataan tuntutan yang telah dibuat. Saya ada lima anak guam dan setiap seorang saya perlu selesaikan satu persatu dan kumpulkan semua bukti. Tapi itu tak penting, sebab kami masih ada lagi masa. Mereka semua masih ada masa sampai 17 Ogos.
Dakwa keluar kata-kata fitnah
Terdahulu, Nana memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen di sini, dan menamakan Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya, Nur Sheila Hassim, Zuraidah Badron atau lebih dikenali sebagai Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, sebagai defendan.
Menerusi pernyataan tuntutan, Nana mendakwa pada 20 Julai lalu kira-kira 11.58 malam, melalui siaran langsung yang dikendalikan oleh Nur Sheila dan disertai empat defendan lain menerusi akaun Instagram masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.
Nana turut mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.