Pelantun suara ‘Hanya Di Mercu’ iaitu Ayu Damit mengakui sejak kebelakangan ini dia sering dihujani soalan daripada peminat mengenai kehamilan. Menurut Ayu, dia sedar ramai yang prihatin dan ingin tahu mengenai keadaannya pada masa ini.
Artikel Berkaitan: ‘Bila Dua Kali Tak Datang Period…Rasa Pelik’ – Ayu Damit Tak Sedar Hamil Anak Keempat
Saya tak mengandung
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Ayu berkata, dia menafikan dakwaan tersebut.
Sejak kebelakangan ini saya rajin muat naik foto, video dan buat live di TikTok. Saya sedar ada segelintir netizen yang tanya adakah saya sedang hamil memandangkan perut saya adakalanya kelihatan seperti mempunyai baby bump. Jawapan saya tidak. Itu bukan baby bump!
Disoal sama ada sudah cukup ataupun tidak mempunyai empat orang cahaya mata, Ayu memberitahu buat masa ini sudah cukup.
Kalau tanya pandangan saya secara peribadi, saya tak kisah soal anak. Sebab itu kan rezeki. Cuma buat masa ini, saya rasa tidak untuk menimang cahaya mata kerana saya masih melanjutkan pengajian. Saya perlu habiskannya terlebih dahulu.
Sibuk buat persiapan Konsert Sumandak Stars
Selain menyambung pengajian di peringkat ijazah di ASWARA, Ayu turut berkongsi mengenai perkembangan kariernya. Ujar Ayu, dia sedang sibuk melakukan persiapan sempena Konsert A Night With Sumandak Stars yang bakal berlangsung 30 November ini.
Jelas Ayu lagi, sebagai salah seorang penyanyi yang akan memeriahkan konsert tersebut, dia perlu memberikan yang terbaik buat peminat dan penonton yang membeli tiket konsert itu.
Selain belajar, Ayu memang sedang sibuk menjalani latihan dan melakukan persiapan untuk Konsert Sumandak Stars hujung bulan nanti. Di samping itu, Ayu juga menerima beberapa pelawaan untuk menyanyi di beberapa majlis dan acara tertutup sepanjang bulan ini. Jadual Alhamdulillah sangat padat. Bagi Ayu ini semua rezeki untuk anak-anak.
Diusik mengenai perniagaan cili dan homestay yang diusahakan di Pangsoon Hulu Langat, Ayu memaklumkan bisnes tersebut masih berjalan seperti biasa.
Bisnes tetap berjalan seperti biasa. Saya dan suami sama-sama bekerja keras untuk memastikan perniagaan kami berjalan lancar. Homestay kami Alhamdulillah sentiasa mendapat tempahan memandangkan lokasinya sangat strategik dan nyaman. Pengunjung boleh mandi manda dan melakukan pelbagai aktiviti riadah di situ. Harga pun berpatutan.
Berbicara lebih lanjut, juara program One In A Million musim kedua ini turut meluahkan rasa gembira kerana setiap usaha yang dilakukan selama ini membuahkan hasil meskipun, ada waktunya dia berasa penat.
Jadi seorang anak seni perlu banyak pengorbanan dan usaha keras. Ditambah pula, saya seorang isteri, ibu, usahawan dan pelajar. Saya perlu bijak membahagikan masa. Kami tiada pembantu rumah. Semua perkara saya dan suami yang bergilir-gilir uruskan. Bila lihat semula pengorbanan yang kami lakukan, saya berasa syukur dan berterima kasih kepada Allah.
Hantar anak masuk tahfiz
Di akhir temu bual, OhBulan! sempat bertanya kepada Ayu mengenai keputusannya menghantar anak sulung ke pusat tahfiz, baru-baru ini.
Ramai juga tanya soalan ini dekat saya dan suami. Apa yang boleh saya katakan, kami mahu dia mempunyai pengetahuan dan mendalami ilmu agama tatkala usianya
Pertama sekali saya dan suami buat keputusan ini untuk kebaikannya juga. Kami mahu dia mendalami ilmu agama tatkala usianya sudah memasuki 15 tahun. Meskipun agak sedih kerana perlu berjauhan, saya dan suami yakin dia mampu menjadi seorang anak yang soleh dan hebat apabila habis pengajian di sana.
Untuk rekod, Ayu mendirikan rumah tangga dengan Syed Fauzi pada 2009 dan dikurnakan empat orang cahaya mata iaitu Syed Nashrul Haikal, 15, Sharifah Alya Adriana, 13, Syed Aqif Najmi, 9 dan Sharifah Farah Elyana, 11 bulan.