Sempena ulang tahun ke-26, kumpulan nasyid Raihan, bakal mengadakan ‘Konsert Garis Masa Raihan’ di Shah Alam, pada November depan. Menerusi laporan Berita Harian, bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani, mendoakan konsert tersebut berjalan dengan lancar.
Tidak terkilan
Pernah menganggotai kumpulan tersebut pada tahun 1990-an, Nazrey berkata dia tidak terkilan jika Raihan tidak memanggilnya untuk menyertai konsert tersebut.
Bagi saya, acara itu sukar untuk dianjurkan. Jadi, apabila mereka dapat buat, Alhamdulillah. Saya tumpang gembira apabila nasyid dapat bangkit kembali. Jujurnya saya bersyukur. Tetapi, bagi saya, kalau dijemput (menjayakan konsert itu), saya pergi. Kalau tidak, buat apa saya mahu bising. Itu hak mereka (anggota Raihan) hendak panggil saya atau tidak.
Disoal mengenai permintaan peminat yang mahukannya terlibat dengan konsert berkenaan, Nazrey berkata dia faham hasrat penyokong, namun, akur dengan aturan kumpulan Raihan.
Memanglah peminat akan cari Nazrey, sebab kalau ada saya, lengkaplah Raihan. Ia ibarat sebelah tangan ada lima jari. Kalau tiada satu jari, tidak lengkaplah. Jadi, begitulah keadaannya. Kalau dijemput, saya lihat lengkaplah persembahan itu. Tetapi, mana tahu, saya dijemput. Tiada masalah. Tetapi bagi saya, dipanggil, Alhamdulillah, tidak dipanggil pun, Alhamdulillah. Saya bukan buat-buat, sememangnya saya tiada masalah.
Sumber: Berita Harian