berita

‘Jaga Privasi Keluarga, Bukan Sorok’ – Nafiz Muaz

May 20th, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Pelakon Nafiz Muaz lebih selesa berkongsikan perihal kerjaya di media sosial. Walaupun sudah berkecimpung dalam industri seni tempatan sejak tahun 2016, Nafiz mengasingkan hal peribadi daripada pengetahuan umum.

Pasal kerja sahaja dikongsi

Ketika ditemui OhBulan!, Nafiz menyatakan dia ‘tenang’ menjalani kehidupan seperti biasa dan enggan perkongsiannya nanti akan disalah ertikan.

Biarpun begitu, aktor berumur 24 tahun ini tidak ada niat untuk menyorok mengenai keluarganya daripada orang ramai.

Sebenarnya sejak dulu lagi saya tidak suka kongsikan hal peribadi di media sosial. Saya aktif di media sosial, tetapi cukuplah berkaitan kerja.

Andai kata kalau orang jumpa saya di luar dengan keluarga saya, apa yang mereka lihat itu kira bonus. Saya tidak sesekali menyorokkan keluarga saya, cuma hantaran di media sosial adalah berkaitan kerja sahaja.

Saya tak mahu ada perkongsian peribadi saya disalah erti, dan akhirnya mengundang fitnah atau cakap belakang yang tidak enak.

Ada orang kata, biar orang lihat kita susah, daripada orang lihat kita senang dan kemudiannya dengki balik dengan kita.

Isteri orang biasa

Kata pemilik nama Muhd Nafiz Muaz Mat Nasir, berkahwin dengan adinda kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah iaitu Diyana Omar bukan menjadi tiket untuk dia melupakan diri dan bersikap angkuh.

Saya perbetulkan sikit sebab isteri saya bukan golongan kerabat. Kakak dia, Sultanah Nur Zahirah dulunya seorang rakyat biasa.

Selepas Sultanah berkahwin, hanya dia yang bergelar golongan kerabat tetapi keluarga isteri saya hanyalah orang biasa.

Bagaimanapun hubungan saya dengan Sultanah yang saya panggil kak Zahirah sangat baik. Walaupun banyak benda baharu yang saya belajar selepas berkahwin, tetapi Sultanah tidak pernah merendah-rendahkan saya.

Sebelum berkahwin, memang saya bahasakan diri tuanku, patik, tetapi bila sudah berkahwin, Sultanah tidak mahu ada jurang antara kami.

Bahkan Sultanah tidak pernah bertanya apa harta yang saya ada dan menerima saya dengan tangan terbuka walau saya hanya ada sebuah kereta dan motor sahaja.

Nafiz ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Manggis Group di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nafiz bakal muncul menerusi telefilem ‘Kami TV’ terbitan Celebrate TV bersama Siti Khadijah dan Aniq Suhair.

Celebrate TV merupakan sebuah syarikat produksi yang menghasilkan pelbagai kandungan kreatif, krew produksi teknikal, servis pengiklanan bersepadu dan juga merupakan agensi pemasaran digital melalui koloborasi pelbagai syarikat di bawah Manggis Group.

Selepas 10 tahun, Celebrate TV telah menghasilkan hampir 300 jam konten kandungan program, menembusi lapan saluran TV dalam dan luar negara dan telah bekerjasama dengan 100 lebih pelanggan. Celebrate TV juga telah menggondol lapan anugerah pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

Menjadikan karya telefilem sebagai permulaan sebelum ke arah pembikinan drama, Celebrate TV ingin sebaris dengan produksi-produksi yang sedia ada. Kepelbagaian dalam menghasilkan program menjadi keutamaan pada Celebrate TV.

Begitu juga dengan Manggis Group yang mencatat lagi satu sejarah apabila melalui anak syarikatnya iaitu Tok Mart Sdn Bhd (Tok Mart) menandatangani memorendum persefahaman bersama Iana Corporation dari Miri, Sarawak yang membawa jenama Siti Payung.

Antara barangan yang dijual adalah kepelbagian makanan berasaskan kerepek, serunding, dodol dan terbaru ialah kek lapis Sarawak.

Istimewanya produk ini turut boleh didapati melalui Shopee, Lazada, Grab Food, Food Panda, Youbeli dan website TokMart.

SKIP THIS AD ×