Semua sedia maklum, perkahwinan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan adalah tidak dibenarkan berikutan situasi semasa penularan wabak Covid-19. Baru-baru ini pasangan nikah secara online disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan jadi bualan hangat netizen.
Sejak dari itu, pihak Jabatan Agama Islam Selangor menerima banyak panggilan dari orang awam mengenai perkara-perkara yang tidak berkaitan. Bagaimana permohonan kebenaran nikah online ini? Anda layak untuk memohon atau tidak? Ini jawapannya.
Beri kerjasama untuk pasangan yang benar-benar perlu
Perkara ini dijelaskan oleh pihak JAIS sendiri memandangkan mereka menerima panggilan yang tinggi mengenai ‘nikah online’. Ini menyebabkan kesukaran kepada pasangan yang ingin berhubung dengan pihak JAIS bagi mendapatkan penjelasan berkaitan kebenaran khas akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Sehubungan dengan itu, bagi melancarkan permohonan akad nikah dengan kebenaran khas ini, Jabatan memohon kerjasama dari semua pihak untuk memberikan laluan kepada pasangan yang layak memohon serta mempunyai alasan yang munasabah.
Sekiranya anda memerlukan khidmat nasihat bagi perkara-perkara lain selain yang dinyatakan seperti kursus praperkahwinan, anda boleh menghantarkan emel pertanyaan kepada [email protected]
Justeru itu, pihak JAIS meminta agar semua pasangan memberikan kerjasama untuk memberi laluan kepada pasangan yang layak memohon dengan alasan munasabah sehingga sehingga jabatan kembali beroperasi seperti biasa. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu kita tahu tentang permohonan dan prosedur nikah online ini.
Syarat-syaratnya
Kebenaran Nikah Online (KNO) akan diberikan kepada pasangan yang telah mendapatkan kebenaran bernikah sebelum PKP dilaksanakan. Kebenaran nikah yang sedia ada itu sudah dekat tarikh luput dan atas sebab-sebab munasabah yang lain. Sebagai contoh, bakal suami diluar negara yang tak dapat balik ke Malaysia. Tapi kebenaran nikah sudah ada. Dibenarkan untuk bernikah online.
Begitu juga dengan pasangan yang mempunyai ahli keluarga yang sedang sakit dan khuatir jika mereka tidak dapat lihat pernikahan ini di hari lain. Antara syarat lain yang harus melakukan akad nikah online ini adalah seperti berikut :
- Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
- Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
- Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukumsyarak.
- Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
- Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yangditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
- Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.
Bukan semua layak memohon
Bagi sesiapa belum mendapatkan kebenaran untuk bernikah atau yang belum jumpa jodoh tapi sengaja mahu nikah online adalah tidak dibenarkan sama sekali. Malah pasangan yang sengaja ingin nikah online dengan alasan ingin jimat di majlis perkawinan juga tidak layak memohon. Sila tunda ke tarikh lain selepas tempoh PKP ini tamat. Namun bagi pasangan yang mempunyai masalah seperti surat kebenaran nikah sudah dekat dengan tarikh luput, tetapi tidak mahu nikah secara online. Anda boleh membuat semula dokumentasi baru dan tukar tarikh ke waktu yang lain.
Cara permohonan online
Pasangan yang ingin melangsungkan pernikahan mestilah melakukan permohonan dan mendapatkan kebenaran berkahwin melalui Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di negeri masing-masing. Permohonan Kebenaran Berkahwin Online adalah satu inisiatif Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri – negeri bagi tujuan memberikan kemudahan kepada masyarakat umumnya dan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan khususnya memohon kebenaran pernikahan. Anda boleh memohonnya disini.
Buat pengetahuan semua, Permohonan Kebenaran Berkahwin Online pada masa ini hanya meliputi permohonan yang dibuat di Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan namun kemudahan ini akan terus diperluaskan bagi merangkumi negeri-negeri lain di dalam masa yang terdekat. Untuk maklumat lanjut boleh terus dapatkan info disini.
Sumber : Jabatan Agama Islam Selangor