Penyanyi rock, Datuk Awie meletakkan pendidikan sebagai keutamaan buat anak lelakinya, Putra Ahmad Merrah  meskipun remaja itu semakin dikenali dalam dunia seni.

Artikel Berkaitan: Konsert Solo Terbesar ‘Awie Rock King – Last Man Standing’ Janjikan Persembahan Ikonik, Raikan 40 Tahun Legasi Seni

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Zaki Yamani & Putra Ahmad Merrah Raih Perhatian, Netizen Terhibur Dengar Intonasi – ‘Dah Macam Jamal Abdillah & Awie’

Awie mahu Merrah fokus belajar

Ketika ditemui OhBulan!, Awie mengakui dia tidak menghalang minat Merrah dalam bidang hiburan, namun mahu anaknya memiliki ilmu dan masa depan yang kukuh sebelum serius membina kerjaya sebagai artis.

Saya bukan mahu memutuskan kerjaya seni Merrah, dia masih boleh main gitar, drum, menyanyi dan berlakon.

Itu memang kehendak dia tetapi perkara pertama yang saya mahukan daripada dia ialah pelajaran, fokus pada pengajian.

Bila sudah tamat belajar, saya nantikan ‘daddy, ini sijil (ijazah)’. Jangan jadi artis yang glamor, ada nama tetapi tidak berilmu.

Awie berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Konsert 3 Veto, pada Rabu .

Tak halang minat anak

Dalam masa sama, ahli kumpulan Wings itu memaklumkan Merrah sudah berjanji untuk mengurangkan aktiviti seni dan memberi fokus terhadap pelajaran.

Bagaimanapun, dia tetap memberi ruang kepada anaknya itu menerima undangan persembahan tertentu selagi tidak mengganggu pengajian.

Pada bulan puasa lalu jadual seni dia paling sibuk dengan undangan persembahan tetapi dia berjanji akan berhenti sekejap, kurangkan mana yang boleh (jadual nyanyian).

Saya tak sekat, kalau ada undangan hujung minggu, masih boleh lagi. Dua minggu atau sebulan dua kali okeylah, cuma jangan terlalu padat sehingga abaikan pelajaran.

Saya nak Merrah berjaya macam kakak-kakak dia. Insya-Allah dia pun sudah berjanji, jadi saya pegang janji itu.

Pada masa sama, Awie mengakui pengalaman hidup susah yang pernah dilaluinya membuatkan dia tidak mahu anak-anak menempuh jalan sama.

Jangan ikut langkah saya sebab saya melalui proses yang susah. Saya tak nak anak-anak melalui proses yang sama.

Sekarang zaman moden dan teknologi, semua orang ada sijil dan pelajaran. Kita kena hidup dalam keadaan sekarang, jadilah bijak dan orang akan nampak kita mahal.

Saya bukan menidakkan atau perlekehkan kehidupan orang lain. Cuma saya nak anak-anak guna kesempatan yang ada ketika ini sebaik mungkin, pelajaran diutamakan.

Sebelum ini, Merrah pernah berkongsi bahawa bapanya tidak pernah menghalang minatnya dalam bidang nyanyian, namun mahu dia mempunyai masa depan yang terjamin menerusi pendidikan.