Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menyekat program kebudayaan Jepun, Bon Odori di Shah Alam pada 16 Julai ini, kata Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad.
‘Baginda sendiri pernah hadir’
Gambar sekadar hiasan
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan halaman JAIS di laman Facebook, Shahzihan berkata, baginda berpendirian bahawa banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya.
Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan tentang perkara seumpana ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.
Baginda berpendirian, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya.
Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.
Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Shahzihan yang menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, petang tadi turut berkata, baginda juga bertitah supaya pegawai JAIS dan Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis tersebut bagi melihat sendiri apa yang berlaku.
Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja-pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di negeri Selangor.
Sumber: Facebook JAIS