BAGI individu normal, melihat orang kelainan upaya (OKU) melakukan rutin harian biasa seperti bekerja atau berkomunikasi saja pun mungkin sudah nampak sukar.
Namun, bagi golongan itu sendiri, kekurangan pada diri mereka langsung tidak membebankan sebaliknya menjadi titik tolak untuk mereka terus bangkit mencipta kejayaan.
Tidak lokek berkongsi mengenai kisah hidupnya membesar sebagai OKU pekak, Iskandar Mohamad Sazali, 21, berkata, dia sebenarnya dilahirkan normal seperti bayi biasa.
Bagaimanapun, ketika berusia sembilan bulan, doktor mengesahkannya pekak.
Cabaran ketika bersekolah
Ditanya mengenai cabaran sewaktu di bangku persekolahan, Iskandar berkata, ketika darjah satu dia bersekolah di sebuah sekolah integrasi yang mempunyai pelajar bercampur.
“Hanya saya seorang saja pelajar OKU. Segalanya sukar kerana semua pelajar lain boleh bercakap sehingga apabila diminta untuk memperkenalkan diri pun saya tak faham,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan Iskandar tidak seronok untuk meneruskan sesi persekolahan.
Guru yang mengajar di kelasnya juga tidak dapat memberi tumpuan penuh kepada pelajar istimewa seperti Iskandar disebabkan faktor kekangan masa.
“Ayah kemudiannya menghantar saya ke rumah saudara untuk belajar membaca,” katanya.
Perlu kuat, berani
Mengakui ayahnya yang juga Presiden Persatuan Orang Pekak Malaysia sebagai inspirasi, Iskandar berkata, dia mengimpikan untuk menjadi hebat seperti ayah.
“Ayah pernah menghantar saya menyertai program World of The Deaf Youth Section di Australia. Ia adalah program perkhemahan yang mengumpul semua remaja pekak serata dunia,” katanya.
Di situ, Iskandar terkejut melihat semua peserta OKU pekak bersikap lebih terbuka serta mampu menggunakan bahasa isyarat dengan begitu lancar dan yakin.
“Sekembalinya di Malaysia, saya berkongsi dengan rakan-rakan supaya jangan malu dan tidak boleh pasif sebaliknya perlu aktif, kuat dan berani,” katanya.
Peranan MFD
Kini, Iskandar aktif membabitkan diri bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia/Malaysia Federation of the Deaf (MFD) bagi membantu komuniti pekak di Malaysia.
MFD giat melaksanakan advokasi dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai tanggungjawab mereka dalam komuniti OKU.
Ini termasuk mencari penyelesaian untuk mengaplikasikan teknologi bagi kemudahan komuniti pekak serta melaksanakan program Pendidikan Awal Kanak-Kanak bagi membantu kanak-kanak OKU menguasai kemahiran asas dan bahasa isyarat.
“Harapan saya kepada masyarakat di luar sana, belajarlah bahasa isyarat. Jangan takut sekiranya terserempak dengan kami kerana kami bukan orang pelik.
“Kami juga sebahagian daripada masyarakat dan jangan pernah menganggap kami lain daripada yang lain.
“Dengan adanya persefahaman dalam komunikasi, perhubungan kami dengan masyarakat sekeliling tidak lagi terbatas,” katanya.
Santuni komuniti OKU pekak bersama CSR
Ramadan ini, syarikat Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) menyantuni komuniti OKU pekak menerusi program tanggungjawab sosial korporat OhKasih bersama MFD.
Rakyat Malaysia dijemput untuk menyalurkan sumbangan ikhlas kepada MFD menerusi akaun bank di bawah:
Nama Bank: United Oversea Bank (Malaysia) Bhd
Nama Akaun: Persekutuan Orang Pekak Malaysia
Nombor Akaun: 1673 02 4047
Swift Code: UOVBMYKL
Lebih menarik, CSR juga akan menggandakan nilai sumbangan jika anda memasukkan kod “CSR” pada bahagian ‘Recipient Reference’ sewaktu melakukan transaksi sumbangan.
Tonton perkongsian Iskandar menerusi video OhKasih di bawah. Sesi temubual dalam video ini dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa isyarat.