Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga merupakan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub, telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Artikel Berkaitan: Lelaki 51 Tahun Meninggal Dunia Daki Gunung Kinabalu
Dikebumikan sebelah petang
Memetik laporan Harian Metro, jenazah Allahyarham tiba di KLIA pada jam 7.30 pagi itu diterbangkan dengan menggunakan pesawat MH115 yang berlepas dari Kathmandu, Nepal pada Jumaat (26 Mei) kira-kira jam 11.30 malam waktu Kathmandu.
Mengikut jadual, jenazah Awang akan diterbangkan ke kampung halamannya di Sabah pada jam 11.35 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada jam 2.15 petang ini bagi majlis penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni, Papar pada sebelah petang.
Ketika jenazah tiba di Kompleks Kargo KLIA, sesi penghormatan terakhir dilakukan dengan bacaan Yasin dan tahlil dipimpin Leftenan Bersekutu Pertahanan Awam Miszlee Samais serta disertai lebih 70 anggota APM.
Turut hadir, Raja Muda Kedah Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff yang berkenan berangkat menziarahi jenazah dan memberi penghormatan terakhir.
Terdahulu, Awang Askandar dilaporkan meninggal dunia sehari selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke Gunung Everest pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut.
Allahyarham ketika itu bersama seorang lagi pendaki negara Muhammad Hawari Hashim, 33, yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
Muhammad Hawari dilaporkan turut hilang setelah berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu dan kini usaha mencarinya sedang giat dijalankan.
Sumber: Harian Metro