berita

Jerebu Dijangka Berterusan Sehingga Minggu Depan, Sekolah Awam & Swasta Di Seluruh Selangor Tutup 2 Hari

September 19th, 2019 | by Shahira
Kini Trending

Masalah jerebu yang melanda Malaysia dilihat semakin teruk dengan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin meningkat saban hari. Bagaimanapun, masalah ini juga dipercayai berlaku akibat kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia yang secara tidak langsung turut memberi kesan kepada negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.

Berikutan daripada masalah ini, semua sekolah awam dan swasta di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang diarahkan tutup selama dua hari bermula pada hari ini (Khamis) dan esok (Jumaat).

Sekolah awam dan swasta ditutup dua hari

Menerusi Berita Harian, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Negeri Selangor, Dato’  Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, langkah penutupan ini diambil berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Mereka juga turut memaklumkan bahawa jerebu yang melanda negara semakin teruk dan dijangka akan berterusan sehingga minggu depan.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Selangor dengan ini mengarahkan semua sekolah awam dan swasta di dalam Selangor ditutup bagi sesi persekolahan mulai 19 September (Khamis) sehingga 20 September (Jumaat).

Maklumkan kepada sekolah dan ibu bapa

Tambahnya lagi, Jabatan Pendidikan Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu memaklumkan kepada pihak sekolah dan ibu bapa berhubung arahan penutupan itu dengan segera.

Pendedahan terhadap jerebu yang berpanjangan akan meningkatkan risiko terhadap kesihatan, terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, pesakit jantung dan paru-paru serta wanita mengandung.

Kenyataan media KPM

Berhubung dengan isu ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan kenyataan media mengenai arahan penutupan semua sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Pulau Pinang  selama dua hari bermula hari ini (Khamis) dan esok (Jumaat).

Penutupan sementara sekolah adalah untuk memastikan tahap kesihatan murid tidak terjejas.

Sumber: Twitter, Berita Harian

 

 

SKIP THIS AD ×