Drama Cukup Derita Itu musim kedua akhirnya sudah sampai ke kemuncaknya apabila Zarul (Hisyam Hamid) telah menceraikan Ellani (Ruhainies) dengan talak 1, semalam. Berikutan daripada itu juga, rata-rata netizen meluahkan rasa geram dengan perbuatan Zarul yang sanggup menceraikan isterinya demi kakak kembar Ellani iaitu Ellana (Chacha Maembong).
Jijik dan benci tengok muka kau
Kisah rumah tangga Ellani dan Zarul menjadi semakin keruh apabila ingatan Zarul kembali pulih. Bukan itu sahaja, kehadiran Ellana selepas pulang dari belajar di luar negara juga menjadi punca utama Zarul bersikap dingin terhadap isterinya. Sepanjang bersama Ellana, Zarul dilihat sengaja menyakiti hati dan perasaan Ellani sebagai seorang isteri. Pada masa yang sama, Zarul mempunyai niat untuk menceraikan isterinya itu.
Dalam episod 31 semalam, hasrat Zarul untuk menceraikan Ellani akhirnya tercapai. Namun, perbuatan Zarul yang dianggap ‘dayus’ sebelum menceraikan Ellani telah menimbulkan kemarahan para penonton. Ujar penonton setia drama tersebut, perbuatan Zarul sangat melampaui batas kerana sanggup menampar dan ‘merogol’ isterinya sebelum menceraikan wanita itu. Lebih tersentuh, Zarul turut menghina Ellani ‘mandul’ dan ‘miskin’ dihadapan keluarganya sendiri.
Di akhir episod semalam, Zarul turut bergaduh dengan adiknya (Amirul) dan melakukan sesuatu terhadap anaknya. Perbuatan Zarul tersebut ternyata dibenci oleh ibu dan ayahnya sendiri, Pada masa yang sama, Ellani turut memberi peringatan kepada Zarul agar tidak mencederakan anak-anaknya.
Nak derma buah pinggang
Meskipun dimaki hamun dan dibenci oleh Mak Ngah (Jasmin Hamid) Ellani masih ingin membantu wanita tersebut. Dalam episod semalam juga, doktor mengesahkan kedua-dua buah pinggang Mak Ngah telah rosak. Susulan daripada itu, wanita tersebut perlu menjalani dialisis ataupun mencari penderma buah pinggang. Mendengar perbualan di antara Mak Ngah dan Ellana, Ellani mengambil keputusan untuk mendermakan buah pinggangnya kepada Mak Ngah.
Ujar Ellani dalam satu babak bersama Salwa (Lia Natalia) dia tidak mahu menyimpan dendam dan benci terhadap Mak Ngah kerana perasaan tersebut tidak akan membawa kebaikan untuk dirinya. Lagipun, dia ingin membalas jasa arwah Pak Ngah yang sudi mendermakan buah pinggang kepada arwah ibunya suatu ketika dahulu.
Bercerita pula mengenai watak Mak Yek (Didie Alias), segala perbuatan terkutuknya akhirnya tewas apabila suaminya telah melafazkan cerai semalam. Bukan itu sahaja, anaknya Ayu (Sera Mellisa) turut melarikan diri ke Kuala Lumpur sebelum persiapan majlis perkahwinan berlangsung.
Geram dengan Zarul
Drama penuh emosi karya Siti Rosmizah ini ternyata meninggalkan pelbagai kesan emosi kepada para penonton. Rata-rata netizen tidak suka melihat watak Zarul selepas ingatannya kembali pulih. Jelas netizen, Ellani sudah cukup derita sejak remaja sehinggalah sanggup menjadi isteri kepada Zarul. Oleh itu, mereka berharap Ellani tidak akan pulang ke pangkuan Zarul di akhir episod drama ini.