berita

‘Jika Membahayakan Nyawa Hukumnya Adalah Haram’

August 3rd, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Baru-baru ini kecoh di media sosial selepas viral sekeping foto yang memperlihatkan beberapa pengguna jalan raya sedang mendirikan solat Subuh di lorong kecemasan di kaki lebuh raya. Difahamkan, mereka nekad bertindak sedemikian kerana surau di kawasan RnR telah penuh berikutan dengan cuti perayaan Aidiladha.

Pemeliharaan nyawa sebagai pokok utama

Menerusi laporan yang dipetik daripada Harian Metro, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, menunaikan solat adalah perkara yang wajib dilakukan oleh umat Islam tetapi Islam juga meletakkan pemeliharaan nyawa sebagai pokok utama.

Melakukan sesuatu yang memudaratkan diri hukumnya adalah haram walaupun perkara dilakukan itu wajib, cuba ikhtiar supaya dapat solat pada waktu tepat dalam keadaan selamat. Matlamat memelihara agama (hifz al-din) tidak akan tercapai kecuali dengan memelihara nyawa (hifz al-nafs).

Tambahnya lagi, para pengguna yang mendirikan solat Subuh di lorong kecemasan di Kilometer 32, Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) perlu memastikan keselamatan diri dan orang lain.

Begitu juga dalam situasi ini, jika membahayakan nyawa hukumnya adalah haram tetapi solat wajib dilakukan terutama waktu Subuh yang tidak boleh dilakukan secara jamak.

Jaga keselamatan diri dan orang lain


Sementara itu, beliau turut mengutarakan pendapatnya alangkah baiknya jika mereka meletakkan sesuatu atau memasang lampu bertujuan untuk memaklumkan kepada pengguna jalan raya yang lain. Hal ini secara tidak langsung dapat menjamin keselamatan orang ramai.

Mungkin pengguna berkenaan boleh memasang lampu atau meletakkan benda supaya dapat memberitahu pengguna jalan raya lain. Bagaimanapun, jika keadaan terdesak, boleh melakukan solat secara menghormati waktu tetapi wajib qada sebaik tiba di destinasi masing-masing.

Dalam pada itu, syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad (ANIH) memaklumkan pihak mereka tidak membenarkan pengguna jalan raya menunaikan solat di lorong kecemasan atas faktor keselamatan.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×