berita

JIPS Diarah Siasat Polis Wanita Berpangkat ASP Buat Live Tiktok Ketika Serbuan

April 25th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman diarah membuat siasatan secara menyeluruh berhubung seorang pegawai polis wanita yang membuat siaran secara langsung di laman Tiktok dalam satu serbuan di pusat hiburan.

Dibuat semata-mata publisiti

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan namun meminta JIPS melakukan siasatan dalaman. Katanya, tindakan pegawai polis wanita yang mengetuai operasi berkenaan membuat TikTok secara langsung adalah tidak wajar.

Untuk apa dia (pegawai polis wanita) buat siaran langsung TikTok semasa operasi? Perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Sementara itu, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata pihaknya sudah mengambil maklum dan siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan.

JIPS akan menyiasat dari segi prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan oleh Narkotik (Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik) semasa serbuan. Maksud saya adakah peraturan secara umum membenarkan (membuat siaran langsung TikTok).

Siasatan dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Ini adalah aduan dan arahan pertama kali JIPS terima kerana ia lain daripada kesalahan sebelum ini seperti anggota menari ketika beruniform.

Ketika ditanya soalan berhubung arahan larangan penggunaan media sosial ketika bertugas, Azri berkata beliau tidak dapat mengulas lanjut dan pihaknya akan meneliti semula bentuk arahan itu.

Pada Ogos 2020, media melaporkan PDRM mengeluarkan arahan melarang pegawai kanan dan pegawai rendahnya memuat naik perkongsian peribadi semasa berpakaian seragam di platform media sosial.

Azri berkata pihaknya menerima banyak kecaman daripada netizen yang susulan tindakan pegawai polis wanita berkenaan yang disifatkan mencemar imej PDRM dan perbuatan itu dibuat semata-mata publisiti.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM berpangkat ASP menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan.

Sumber: malaysiakini

SKIP THIS AD ×