Foto: Focus Malaysia
Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan telah mengumumkan total lockdown di seluruh negara bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021. Hal ini secara tidak langsung memberi pelbagai kesan kepada rakyat Malaysia terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah dan individu yang bekerja sendiri.
Oleh hal demikian, Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpendapat supaya kerajaan membuat strategi yang lebih terperinci mengenai perkara ini.
Bantuan bukan berdasarkan pendapatan
Foto: The Star
Memetik laporan Free Malaysia Today, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meminta kerajaan bertindak pantas bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai wang yang cukup untuk membeli keperluan makanan sepanjang tempoh total lockdown ini. Bukan itu sahaja, beliau berpendapat bantuan yang disalurkan oleh kerajaan tidak seharusnya dilihat berdasarkan tahap pendapatan rakyat semata-mata.
Sekarang kita berada dalam keadaan lockdown dan saya sangat bimbangkan rakyat terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Apabila lockdown, pekerja sektor tidak formal dan yang bekerja sendiri adalah yang paling terjejas kerana mereka bergantung pada upah dan pendapatan harian.
Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Titiwangsa ini berharap pihak kerajaan bersama semua Ahli Undangan Negeri dan Ahli Parlimen perlu turun padang mengenalpasti rakyat yang mempunyai masalah wang bagi membeli keperluan makanan. Selain itu, kerajaan pusat perlu memperuntukkan dana dengan menyediakan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan.
Jabatan kebajikan mesti bekerjasama dengan wakil rakyat untuk mengagihkan bantuan dan memastikan tidak ada yang ketinggalan.
Urus proses vaksinasi lebih telus, cekap
Sekadar gambar hiasan
Jelasnya lagi, kerajaan perlu membenarkan sektor-sektor penting sahaja untuk beroperasi seperti sektor makanan, minuman termasuklah yang terlibat dalam rantaian bekalan dan pengedaran makanan.
Memandangkan banyak kluster berpunca dari tempat kerja, terutamanya kilang, kerajaan perlu mengarahkan penutupan kilang dan menjalankan saringan besar-besaran bagi semua pekerja tempatan dan asing.
Sementara itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berharap agar pengurusan proses vaksinasi akan dijalankan dengan cekap, efisyen dan telus seperti mengemaskini baki stok vaksin, jumlah yang diperuntukkan ke setiap negeri dan jadual bekalan vaksin yang masuk juga perlu disenaraikan sebagai rujukan rakyat.
Sumber: Free Malaysia Today