Seakan sudah menjadi satu trend, bayi pada zaman sekarang diberi nama melebihi dua patah perkataan. Gabungan nama-nama panjang sebegini diakui menyukarkan proses pendaftaran anak-anak.
Oleh itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi Berita Harian Online hari ini mengehadkan nama tidak melebihi 80 aksara.
Had kepada 80 aksara
(Sekadar gambar hiasan)
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Jasri Kasim, memberitahu ibu bapa dilarang meletak nama anak dengan nama panjang sehingga melebihi 80 aksara. Aksara tersebut termasuklah nama bapa, bin, binti atau simbol seperti koma dan sebagainya.
Ini kerana ruangan nama yang disediakan di borang pendaftaran adalah terhad kepada 80 abjad malah jarak antara perkataan juga dikira sebagai satu abjad.
Oleh itu kita minta ibu bapa untuk mematuhinya dan untuk rekod nama individu yang paling panjang setakat ini adalah 78 aksara.
Tambah beliau lagi, selain nama yang tidak membawa maksud, nama yang panjang juga bakal memberi kesan kepada anak kelak.
Ini menyusahkan anak mereka kelak khususnya ketika berurusan rasmi dengan agensi kerajaan kerana tidak semua jabatan menyediakan ruangan nama yang mencukupi seperti di JPN.
Selain itu kasihan kepada anak yang mempunyai nama panjang kerana setiap kali musim peperiksaan orang lain sudah menjawab beberapa soalan, mereka masih sibuk mengisi nama di kertas soalan.
Nama yang mempunyai pangkat atau gelaran seperti Tun, Tan Sri, Datuk, Datin, Puan Sri, Datuk Patinggi, Datuk Wira, Datuk Bentara Dalam dan Datuk Bentara Luar turut dihalang.
Ini diikuti jawatan haji, imam, nabi, mufti, ketua menteri, gabenor, sarjan, laksamana, hakim atau permaisuri.
Sumber : Berita Harian Online