Tanggungjawab seorang bapa adalah untuk melindungi anak-anak. Tetapi siapa sangka di sebalik figura seorang bapa, ada juga yang tergamak menjual anak kandungnya sendiri.
Di India, seorang bapa telah menjual anak perempuannya yang baru berusia 16 tahun dengan harga Rs3,000 bersamaan RM169.
Akhirnya diselamatkan
Menerusi laporan yang dibuat daripada Gulf News, si bapa durjana menjual anaknya itu kepada seorang lelaki dengan harapan individu terbabit akan memberikan pekerjaan kepada anak perempuannya itu. Tetapi lain pula yang jadinya apabila gadis berkenaan telah didera secara seksual oleh lelaki terbabit sehingga disahkan hamil.
Individu itu yang mengetahui tentang kehamilan itu telah bertindak kejam dan tergamak meninggalkan gadis itu di tepi jalan dengan keadaan yang sarat mengandung. Namun setelah 2 tahun, penderitaan gadis itu akhirnya terhenti selepas dia berjaya diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Wanita dan Kanak-Kanak.
Mangsa selamat lahirkan anak
Gadis malang itu kemudian diberikan rawatan dan diminta menjalani sesi kaunseling. Sepanjang tempoh itu, dia menceritakan kejadian sebenar yang menimpa dirinya. Menurut mangsa, dia terpaksa menjalani kehidupan malang ini selepas kematian ibu kandungnya. Dia telah selamat melahirkan bayi di sebuah hospital yang terletak di Bilaspur. Gadis ini kemudian dipindahkan ke pusat Sakhi atau One Stop Center (OSC).
OSC adalah satu organisasi yang dilancarkan pada tahun 2015 untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada wanita yang berhadapan dengan apa-apa jenis keganasan secara tertutup mahupun di tempat awam di India.
Sumber: Gulf News