Semua orang mahu berniaga. Manakan tidaknya, berniaga adalah salah satu sumber rezeki yang memungkinkan anda untuk menjadi kaya-raya. Tapi, kalau tak kena teknik dan gayanya memang kurang menjadi.
Kali ini kami mahu kongsi kisah yang ditulis oleh Mohd Hafizul Hilmi yang menceritakan bagaimana pengalamannya menjual roti john daripada hanya berjaya menjual 3 biji kepada 70 biji sehari.
HARI PERTAMA JUAL ROTI JOHN, LAKU 3 BIJI
Ya, hari pertama aku mula berniaga Roti John di bazaar Ramadhan, cuma terjual 3 biji sahaja.
2 biji abah aku yang beli, dan bila balik rumah aku lah yang makan Roti John yang aku sendiri jual petang tadi. Maknanya kalau abah aku tak datang bazar hari itu, sebiji sajalah yang terjual.
Malam tu lepas solat terawih aku termenung. Esok nak berniaga ke tak.
Masa itu masih bujang, baru lepas grad. Ada masa sebulan lebih sementara tunggu panggilan interview dari syarikat oil and gas. Kebetulan pula tiba bulan Ramadhan. Aku buat keputusan untuk jual Roti John di bazar dengan niat; nak belajar berniaga, memerhati perangai manusia, dan cari duit modal untuk bayar sewa rumah & duit makan sebelum dapat gaji pertama bila mula bekerja nanti.
Hasil untung berniaga online dan berniaga di kampus, aku buat modal untuk beli kuali burger, dan bahan-bahan mentah. Dapur tungku, meja lipat, tong gas; ambil yang sedia ada di rumah. Tapak gerai –tumpang lot gerai nasi kerabu sepupu aku.
Ubah strategi..
Esoknya, hasil daripada merenung renung, aku pun ubah strategi sikit:
1) Harga: Dari RM2.50 (harga standard untuk Roti John pendek) >> Turun jadi RM2.00 (bazar depan HUSM, ramai pelajar universiti. Harga sesuai dengan market Kelantan)
2) Signboard : Tulis dengan pen atas kertas minyak – kecil >> Print tulisan hitam atas kertas putih – besar
3) Tagline: Tak ada >> Tulis dalam signboard “Maghi try skali” (Datang cuba sekali)
4) Promosi: Tak ada – senyap >> Bila orang lalu, buat macam lelong barang
Alhamdulillah, pada hari-hari seterusnya, tak kurang 50 biji sehari. Ada masa 70 biji. Ada masa boleh balik awal sebab stok habis. Ada masa, berbuka puasa dengan peniaga-peniaga lain di bazar dan bertukar-tukar makanan yang tak habis dijual. Ok lah masa tu. Belum ada anak bini nak tanggung.
(sekadar gambar hiasan)
Ada satu hari di penghujung Ramadhan, hujan + ribut melanda bazar. Ada khemah yang senget, terbang. Ada kuali berisi minyak terbalik. Ada makanan yang kebasahan. Aku turunkan payung untuk lindung kuali dan semua barang-barang mentah. Lepas ribut berhenti, payung naik semula dan hari itu stok Roti John aku habis walaupun peniaga lain terpaksa balik awal.
Hukum sunnatullah – berniaga dengan strategi yang betul akan menjadi asbab kepada kejayaan. Kita mungkin tak akan dapat untung RM1 juta dengan menjual pen berharga RM1.50 sebatang di pasar malam. Tapi kalau jual pen berharga RM4,000 sebatang kepada 1,000 orang yang tandatangannya bernilai RM50,000 sekali toreh?
Sambil jual Roti John, aku belajar banyak faktor yang menjadi asbab kepada masuknya duit ke dalam poket kita (Duit yang kita dapat tak semestinya menjadi rezeki kita. Contohnya untung berniaga RM100; kena curi RM90, atau bagi sedekah/zakat kepada orang lain RM80).
Asbab makanan yang dijual laku keras:
(sekadar gambar hiasan)
1) Sedap – resepi bagus, bahan berkualiti (ayam fresh, tak busuk)
2) Servis bagus – cara melayan pelanggan, bahasa yang digunakan, servis after-sale tiptop
3) Lokasi betul – tempat laluan orang, mudah parking, lokasi mudah dijumpai
4) Harga berpatutan – tak ‘sembelih’ pelanggan, harga setimpal dengan kualiti servis
5) Marketing – promosi meluas, tepat kepada sasaran, guna tools yang betul
6) Branding – bina imej, tingkatkan keyakinan pelanggan, profesionalism
7) Packaging – menarik, kemas, lain daripada yang lain, bersih dan selamat
8) Selesaikan masalah pelanggan (Contoh: Roti John sesuai untuk orang yang bosan makan nasi, tak nak makan berat tapi mengenyangkan)
9) Strategi berniaga – banyakkan channel, ejen, gerila marketing
Sumber: Mohd Hafizul Hilmi