berita

Jumpa ‘Bangkai’ Kereta Di Google Earth & Kubur ‘Orang Hilang’, Misteri Kehilangan Dua Individu Terungkai

September 22nd, 2020 | by Arini Saleh
Kini Trending

Siapa sangka, kehilangan misteri seorang lelaki selama berpuluh tahun akhirnya berjaya dirungkai apabila bangkai kenderaan ditemui di dalam tasik. Lelaki yang dikenali sebagai William Earl Moldt dilaporkan hilang selepas pulang dari kelab malam. Sejak daripada itu, tiada sebarang petunjuk atau jejak mengenai lokasi mangsa dikenal pasti.

Bangkai kereta dilihat dalam Google Earth

Memetik laporan Good, Moldt dipercayai hilang pada 8 November 1997 selepas pulang daripada kelab malam lebih kurang jam 11 malam. Menurut seorang saksi, Moldt pada malam kejadian tidak minum alkohol malah dia juga bukanlah seorang kaki botol.

Misteri kehilangan terus menjadi tanda tanya sehinggalah mayatnya ditemui pada 28 Ogos 2019. Ianya bermula apabila seorang penduduk di taman perumahan berdekatan tasik melayari Google Earth untuk melihat kawasan sekeliling. Dia mendapati terdapat bangkai sebuah kereta tenggelam di tasik itu.

Dia segera ke tasik untuk melihat sendiri namun tidak menjumpai apa-apa yang mencurigakan. Dia kemudiannya menggunakan sebuah drone untuk merakam keadaan sebenar melalui udara.

Di dalam footage yang dirakam, jelas kelihatan bangkai kereta sebagaimana yang dilihatnya di Google Earth. Dia segera melaporkan perkara tersebut kepada polis untuk siasatan lanjut.

Pihak polis kemudiannya mengeluarkan kereta daripada tasik dan mendapati terdapat mayat seorang lelaki terperangkap di dalamnya sejak 22 tahun lepas.

Menurut laporan lagi, kereta itu dapat dilihat melalui Google Earth sejak 2007 namun tiada siapa mengendahkannya.

Hilang lebih 40 tahun

Misteri kehilangan seorang gadis, Linda Pagano pada tahun 1974 akhirnya berjaya diselesaikan selepas lebih 40 tahun. Dia dilaporkan hilang pada September 1974 selepas bertengkar dengan bapa tiri, Byron Claflin. Akibat daripada pertengkaran itu juga, dia telah dihalau keluar daripada rumah.

Kehilangannya dilaporkan kepada polis selepas gagal dihubungi dan tidak pulang selama beberapa hari. Namun, pada 5 Februari 1975, rangka manusia telah dijumpai oleh beberapa orang pendaki di sebuah hutan terletak di Strongsville.

Hasil bedah siasat mendapati mayat yang ditemui berumur dalam lingkungan 20an. Mangsa perempuan itu mati akibat ditembak di bahagian kepala. Disebabkan itu juga mangsa diklasifikasikan sebagai Strongsville Murder. Mangsa kemudiannya dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Highland Hills, iaitu tanah perkuburan bagi orang hilang dan tidak dituntut.

Pihak polis walau bagaimanapun tidak mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan mayat yang dijumpai dengan kes kehilangan Linda Pagano. Kata polis lagi, mayat yang dijumpai lebih berusia jika dibandingkan dengan Linda yang pada ketika itu baru berumur 17 tahun. Mayat juga kelihatan lebih tinggi.

Kubur digali semula

Pada tahun 2016, seorang penyiasat daripada National Missing and Unidentified Persons Systems mendapati mayat yang ditanam adalah milik Linda selepas mereka menghubungi jabatan perubatan untuk mengenal pasti identiti sebenar mayat yang dikebumikan itu.

Pegawai perubatan bertugas kemudian menggunakan rekod pergigian untuk mengenal pasti identiti sebenar mayat tetapi tidak berjaya. Oleh itu, mereka terpaksa menggali kubur untuk mendapatkan rangka pada Oktober 2017 bagi membuat siasatan lanjut.

Sampel tulang rangka mayat dan DNA daripada adik beradik Linda dihantar untuk jalani ujian DNA. Pada 29 Jun 2018, keputusan mendapati rangka tersebut sah milik Linda Pagano.

Adik beradiknya menyifatkan mangsa seorang yang lembut dan tidak mungkin akan melarikan diri tanpa sebab. Difahamkan, Linda Pagano mengambil keputusan tinggal bersama bapa tiri untuk cuti musim panas. Bapa tiri membelikannya sebuah kereta untuk memudahkan pergerakannya. Mangsa mula bertengkar dengan bapa tiri selepas pulang daripada acara konsert menyebabkan dia dihalau keluar.

Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mencari pembunuh dan ada kemungkinan pembunuh masih hidup walaupun kes sudah berlaku lebih 40 tahun.

Sumber : Cleveland.com , Good , I love Borneo

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×