Minggu kedua Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) menyaksikan penyingkiran seramai empat orang peserta iaitu Trio XL, Dhania, Erfarina dan Aniq Iffat.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Empat Peserta Gagal Mara! Trio XL, Dhania, Erfarina & Aniq Iffat Kecundang Pada Minggu Kedua CSOIAM
Artikel Berkaitan: Jimi CSOIAM Bangga Bakal Sepentas Dengan Aina Abdul – ‘Bukan Senang Nak Berduet Dengan Artis Malaysia’
Tak banyak jurang markah
Ketika ditemui OhBulan!, juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim mengakui terkejut dengan keputusan minggu kedua CSOIAM berikutan pemarkahan yang diberikan kepada peserta tidak banyak perbezaannya daripada pihak juri.
Kami terkejut dengan keputusan sebab saya sempat menjenguk markah juri yang lain. Markah sebenarnya tidak banyak jurang namun penentunya adalah undian penonton walaupun mempengaruhi 40%.
Ada peserta yang terkeluar sebenarnya layak ke peringkat seterusnya tetapi ada juga yang lemah.
Yusry juga berpendapat, pada minggu hadapan pihak juri perlu lebih tegas semasa memberikan pemarkahan berikutan peratusan undian yang banyak mempengaruhi keputusan penyingkiran.
Keseimbangan yang ada pada setiap persembahan mereka lebih kurang sama, kita tambah tolak markah mereka daripada pelbagai kriteria.
Jurang yang jauh adalah undian daripada peminat. Jadi mungkin pada minggu hadapan kami perlu lebih ‘brutal’ dari segi pemarkahan supaya suara juri lebih didengari.
Fokus bakat peserta
Dalam masa yang sama, Ziana Zain turut menegaskan dan memohon kepada penonton untuk mengundi para peserta berdasarkan bakat dan bukanlah semata-mata minat atau kerana personaliti mereka yang menarik.
Pengundi perlu buka telinga, celikkan mata untuk undi peserta yang betul-betul ada potensi bukan undi semata-mata minat kepada mereka.
Jangan mengundi sebab dia comel atau cantik tetapi tengok kepada bakat mereka. Namun ini juga rezeki, tetapi mungkin juga yang terkeluar akan lebih menyerlah.
Sementara itu, meskipun tidak menyangka dengan keputusan pada minggu kedua namun sebagai juri, Cakra Khan berkata, mereka terpaksa akur dengan kuasa pengundi.
Semua peserta bagus dan nyanyiannya luar biasa. Jadi kerana itu markah mereka tidak terlalu jauh.
Jujur saya katakan, keputusan hari ini mengejutkan saya. Tetapi kami juga tiada kuasa yang sepenuhnya namun ini adalah pertandingan dan berbalik kepada rezeki masing-masing.
Untuk info, keputusan mingguan ditentukan berdasarkan gabungan 60% markah daripada juri profesional dan 40% undian daripada penonton yang bermula pada episod kedua sehingga episod kelapan.
CSOIAM dihoskan oleh Fiza Frizzy dan Haniff Hamzah serta menampilkan juri tetap Ziana Zain, Yusry Abdul Halim dan Cakra Khan.
Seramai 10 peserta telah terpilih ke minggu hadapan iaitu Mariam, Zazzleen, Kai Deva, Hafiz Zainal, Rezza Shah, Hazimi, Alya, Eylia, Dayangku Iffah dan Mary Grace bakal berentap pentas CSOIAM untuk merebut wang tunai berjumlah RM1 juta.
Saksikan setiap detik mendebarkan ini secara eksklusif di TV3, jam 9.00 malam setiap Ahad, atau strim secara HD di Tonton melalui laman sesawang rasmi TONTON.
Bagi undian pula, boleh ke www.tonton.com.my/calpissodaOIAMTV3.