berita

Jururawat Main Telefon Bimbit Bakal Dikenakan Tindakan Tegas – Jabatan Kesihatan Negeri

June 1st, 2018 | by Amat
Isu & Kontroversi

Tular sebuah rakaman video yang memaparkan seorang jururawat sedang bermain telefon bimbit ketika memberi bantuan pernafasan kepada pesakit, tempoh hari. Senario itu telah mengundang kemarahan netizen yang menganggap jururawat tersebut tidak serius ketika menjalankan tanggungjawabnya.

Berhubung insiden tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor akan menjalankan siasatan yang membabitkan jururawat wanita terlatih itu.

Tindakan tidak sewajarnya

Video berdurasi 27 saat itu tular di media sosial sejak semalam memaparkan seorang pesakit lelaki sedang menggunakan alat bantuan pernafasan dikendalikan seorang jururawat wanita di sisi katilnya. Kejadian dipercayai berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Siasatan sedang dijalankan

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata pihak JKN memandang serius terhadap insiden ini dan siasatan mendalam kini sedang dijalankan. Malah, Ahli Jawatankuasa Penyiasatan yang terdiri daripada pakar dan penyelia jururawat dari HSA dan JKN sudah memulakan siasatan.

Sekiranya terdapat sebarang unsur kecuaian hasil daripada penyiasatan, maka kakitangan yang terbabit akan dikenakan tindakan tegas.

Dr Selahuddeen berkata, JKN dan HSA sudah bertemu waris pesakit bagi mendapatkan gambaran terperinci dan turut memberi penjelasan serta berbincang mengenai perkara berkenaan.

Tindakan tegas bakal diambil

HSA sememangnya mempunyai tata cara pengendalian pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan sambil menunggu untuk dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Arahan penambahbaikan serta-merta juga sudah dikeluarkan kepada HSA serta peringatan kepada lain-lain hospital bagi memastikan kepatuhan terhadap tata cara pengendalian pesakit adalah dipatuhi sepenuhnya.

Walaubagaimanapun, Dr Selahuddeen mengingatkan bahawa fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah kawasan larangan untuk mengambil gambar dan video terutama gambar dan video pesakit di dalam wad atau klinik kerana melanggari etika dan kerahsiaan pesakit.

Mereka yang mempunyai aduan atau cadangan sila hubungi secara terus pihak hospital atau klinik berkenaan. JKN Johor komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan cakna terhadap sebarang aduan atau cadangan yang dikemukakan.

Sumber: myMetro, FB JKN Johor

SKIP THIS AD ×