Seperti diketahui umum, vokalis kumpulan Exists, Mamat telah didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada tahun 2019.
Artikel Berkaitan: Mamat Exists Didakwa Miliki, Hisap Dadah
Susulan daripada berita tersebut, pemain bass kumpulan Exists iaitu Musa Radhi berkata, mereka tidak pernah ketepikan Mamat, sebaliknya sentiasa sediakan pentas dan hanya menunggu dia sahaja sebagai penyanyi.
Fokus pada diri sendiri
Menerusi laporan Harian Metro, Musa berharap semua peminat Mamat dan Exists akan terus mendoakan kebaikan untuk penyanyi itu. Pada masa yang sama, dia berharap Mamat berubah dan insaf bagi menjalani kehidupan yang lebih baik.
Kami di dalam Exists iaitu saya, Ajai, Along dan Ujang selalu juga berusaha mencari dia. Kadang-kadang kami rasa macam mana lagi nak bantu dia supaya dia ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ dengan kami.
Sebab, kalau dilihat daripada anggota-anggota Exists yang ada ini, dia paling diuji dengan ujian agak berat dan berulang-ulang. Apatah lagi, kita semua sudah berhijrah menetap di Kuala Lumpur dan dia seorang masih menetap di Johor.
Tambah Musa, kehidupan Mamat di sana sebenarnya makin merosakkannya.
Ada seorang peguam pernah menasihatkan, kalau boleh bawa Mamat keluar dari kampungnya itu supaya ‘kawan-kawan lamanya’ tidak datang mencari lagi.
Sebelum ini pun Ezad (penyanyi) pernah sama-sama dengan kita nasihatkan Mamat supaya dia sendiri kena kuat ‘melawan’ kalau ingin baik dan bebas daripada pengaruh benda itu,” katanya.
Berbicara lebih lanjut, Musa memberitahu bahawa Mamat sukar untuk pulih apabila ‘kawan-kawan lamanya’ datang mencari semula di saat dia mungkin mula bersedia mahu mengorak kehidupan baharu.
Saya faham, Mamat mungkin memilih hidup di kampungnya kerana ada rumah pusaka peninggalan arwah ibu bapa, termasuk abang dan kakak yang tinggal berdekatan untuk menjaga dia.
Tapi, sekarang rasanya sudah sampai masa untuk Mamat fokus kepada diri sendiri, kerjaya dan keluarganya. Namun, rumah tangga dia pun kita tahu sudah berantakan dan kasihan jugalah.
Apatah lagi, Mamat yang saya kenal itu sudah aktif menyanyi sejak kanak-kanak untuk membantu menampung kehidupan keluarganya yang boleh disifatkan pengorbanan dibuatnya itu sangat besar.
Sumber: Harian Metro