Ketibaan penyanyi terkenal Rizky Febian ke Kuala Lumpur, semalam (Rabu), bersama kekasih hati, Mahalini Raharja, mencuri tumpuan ramai orang terutama dalam kalangan peminat.
Artikel Berkaitan: Bimbang Anak-Anak Malu Mengaku Sebagai Bapa, Marcell Mahu Jadi Contoh Terbaik
Doakan hubungan kami
Ketika ditemui OhBulan!, Rizky diajukan soalan mengenai kehadiran Mahalini di Kuala Lumpur. Kata Rizky, 24, mereka berdua saling menyokong antara satu sama lain.
Kebetulan dia lapang, dia temani saya. Begitu saya juga, kalau saya lapang, saya akan temani dia. Kami saling menemani.
Begitu dengan lagu saya, saya baharu bikin lagu beberapa bulan lalu iaitu Satu Tuju dan dia juga menghasilkan lagu Bisa Sempurna yang didedikasi buat saya. Kami sememangnya saling menyokong.
Diusik sama ada mereka mempunyai perancangan untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat, pemilik nama Rizky Febian Adriansyah Sutrisna memohon doa yang baik-baik.
Doakan saja semoga ada sampai ke tahap itu. Di Indonesia saya tak pernah bicara soal ini. Jadi doakan semoga ada jalannya.
Jujurnya kami saling menyokong antara satu sama lain, kerana kami sama-sama pemuzik, jadi kami mahu sama-sama kejar gol masing-masing. Dia pun tahun hadapan akan ke Kuala Lumpur.
Jadi biar soal itu menjadi sebuah rahsia saya dan dia. Tapi kami mempunyai perancangan, jadi doakan.
Selain itu, Rizky turut berkongsi mengenai sikap Mahalini yang disenangi. Katanya, mereka memiliki banyak persamaan yang membuatkan hubungan itu selesa.
Kami gila orangnya dan bukan seseorang yang menjaga imej. Kami menerima kami seadanya.
Kami juga sering ketawa dan bergurau bersama serta melakukan hal-hal bodoh bersama. Disebabkan kami mempunyai banyak persamaan, kami berada di satu frekuensi.
Ingin cipta kenangan manis
Mengulas lanjut mengenai konsert sulung, Rizky Febian Live in Kuala Lumpur, anak kepada pelawak Indonesia, Sule, berkata dia teruja dan senang untuk menghiburkan peminatnya di Zepp, malam ini.
Saya senang sekali kerana di sini saya ada peminat yang ramai. Mereka sentiasa menyokong saya, walaupun konsert saya di Jakarta, mereka tetap sokong dengan mempromosikan, jadi saya senang sekali.
Malah pelancaran konsert ini juga menerima sambutan luar biasa. Semua itu membuatkan saya sangat senang ke sini.
Terdahulu, tiket konsert Rizky yang dijual pada 26 Ogos lalu licin dalam tempoh satu jam.
Sumber: Instagram @rizkyfbian