Peserta Calpis Soda In A Million (CSOIAM) iaitu Kai Deva meluahkan rasa syukur meskipun menduduki tempat kedua program tersebut pada Ahad.
Artikel Berkaitan: Marygrace Sedar Kemenangan Dipertikai, Percaya Sudah Lakukan Yang Terbaik – ‘Itu Pandangan Mereka’
Dah beri yang terbaik
Menurut Kai, keputusan pada malam tersebut merupakan rezeki yang sudah tertulis buat semua peserta.
Nak cakap soal perasaan dapat tempat kedua, sejujurnya masa saya layak ke peringkat akhir saya dah letakkan diri saya di tempat yang keempat.
Bukan nak merendah diri tapi saya nak berikan fokus yang lebih kepada persembahan saya.
Pada saya apa pun keputusan, itu adalah rezeki yang dah tertulis yang paling penting saya dah buat yang terbaik.
Kai berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas berakhirnya konsert final CSOIAM yang bertempat di Studio NTV7, Glenmarie, Shah Alam pada Ahad.
Dalam pada itu, Kai beranggapan Marygrace begitu layak untuk dinobatkan sebagai juara pada malam tersebut.
Untuk Marygrace, dia sangat layak untuk dinobatkan sebagai juara dan untuk saya pula, saya akan cuba lebih baik di masa akan datang.
Untuk malam ini (konsert final) saya berpuas hati dengan persembahan saya tetapi rasakan yang saya boleh buat lebih baik lagi.
Nak bawa ibu tunai umrah
Ketika ditanya perancangan mengenai hadiah wang tunai yang dimenangi, pelantun lagu ‘Mengejar Bintang’ ini memaklumkan dirinya merancang mahu membuka perniagaan di samping membawa ibunya menunaikan ibadah umrah.
Hadiah RM50,000 itu mungkin saya akan gunakan untuk mulakan perniagaan. Saga sedang mencari perniagaan apa yang boleh saya lakukan untuk kelansungan hidup saya.
Selain itu, saya bercadang nak bawa mak saya tunaikan ibadah umrah.
Untuk berjaya dalam industri hiburan ini seperti yang dikatakan abang Faizal Tahir, kita perlukan disiplin.
Jadi saya merancang untuk hasilkan single. Andai kata tak berhasil, saya akan cuba lagi manalah tahu dapat ke pentas AJL ke satu hari nanti.
Pada Ahad, Kai Deva telah dinobatkan sebagai naib juara program CSOIAM dan membawa wang tunai berjumlah RM50,000.
Kai Deva tewas di tangan Marygrace yang berjaya merangkul gelaran juara dan membawa hadiah wang tunai RM500,000.
Selain wang tunai, Marygrace bakal menerima kontrak bersama syarikat rakaman Alternate Record, sebuah kereta
Peugeot 408 GT dan sebuah lagu hasil sentuhan karya komposer terkenal Indonesia iaitu Ade Govinda.
Keputusan itu sekali gus menafikan kedudukan dua lagi peserta iaitu Jimi dan Zazleen untuk bergelar juara selepas mereka menduduki tempat ketiga dan keempat.
Kedua-dua peserta itu sekadar meraih hadiah saguhati dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan RM20,000 seorang.
Untuk pentas akhir yang dibawakan secara langsung di Stadium NTV7, Glenmarie, Shah Alam para finalis telah membuat dua persembahan iaitu mempersembahkan single pertama mereka serta persembahan ‘cover song’.
Dihoskan oleh Fiza Frizzy dan Haniff Hamzah, program CSOIAM telah pun bersiaran selama lapan minggu dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap Ziana Zain, Datuk Yusry Abdul Halim dan Cakra Khan.
Selain juri tetap, para peserta turut diadili Faizal Tahir dan Nicholas Saputra selaku juri jemputan.
Untuk info, keputusan bagi pentas akhir ini ditentukan berdasarkan gabungan 60% markah daripada juri profesional dan 40% undian daripada penonton.