Penyanyi Kaka Azraff berkata, dia sudah mendapat keizinan daripada suami tercinta iaitu Adam Adzriff bagi menyertai misi kemanusiaan ke mana-mana negara yang memerlukan bantuan.
Artikel Berkaitan: ‘Tak Mati Pun Kalau Tak Minum’ – Zizi Kirana ‘Support’ Produk Tempatan
Suami bagi izin
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, pelantun suara ‘Gila’ ini memberitahu dia tidak keberatan dan terbuka untuk menyertai mana-mana misi kemanusiaan demi membantu saudara seagama.
Tambah Kaka, dia mendapat inspirasi tersebut sebaik sahaja mendengar perkongsian daripada sahabat baiknya, Zizi Kirana dan ibu saudaranya, Ella yang pernah menyertai misi bantuan ke Syria, baru-baru ini.
Saya nak pergi cuma saya ada pesanan dari Ella (ibu saudara) yang juga pernah menyertai misi kemanusiaan, dia berpesan biarlah pergi dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang betul.
Malah, Alhamdulillah suami saya juga bersetuju. Tempoh hari kami ada berbincang mengenai perkara ini, dan dia izinkan, malah dia pun nak ikut. Izin suami sangat penting, kalau dia okay, saya okay. Kalau suami cakap tak boleh, tak bolehlah, duduk rumah sajalah.
Kalau single kita boleh buat keputusan sendiri, tapi bila ada suami kita kena dengar cakap dia.
Disoal mengenai gerakan Blockout 2024, Kaka atau nama sebenarnya Noor Atiqa Noor Azraff berpendapat, rakyat Malaysia sepatutnya memberi tumpuan pada isu boikot jenama pro-Israel, bukannya pada selebriti tempatan.
Kalau bercakap mengenai boikot jenama, ya saya setuju sebab mereka memang terang-terangan membantu ekonomi Israel untuk menyerang Palestin. Jadi bagi saya untuk boikot jenama, tak mengapa.
Tapi untuk memboikot selebriti tempatan, saya tidak setuju. Namun kalau nak boikot artis antarabangsa, saya setuju sebab bagi saya ia juga tidak baik untuk mentaliti kita. Cuma saya tidak setuju dengan cara yang kasar, yang lari dari motif sebenar kita.
Kalau yang boleh membuatkan perbalahan antara kita, itu saya tidak sokong sebab kita sepatutnya kena bersatu, kita nak tolong saudara kita di sana, jadi kalau kita sendiri berpecah belah, bagaimana?
Kaka yang ditemui pada Malam Bersamamu Rafah di Glam Hall Damansara, baru-baru ini, berharap netizen berhenti menghakimi selebrti tempatan hanya dari posting yang dimuat naik oleh mereka di media sosial sahaja.
Selebriti pun ada sebab mereka tersendiri dan kita tak boleh nak ‘judge’, semua ada alasan masing-masing. Saya kalau boleh nak kita bersama-sama dan berhenti menghakimi orang lain.
Saya juga berharap kita lebih banyak berdoa dari bergaduh. Saya pun takut nak cakap banyak-banyak sebab saya juga dalam bidang ini, takut cakap lebih nanti saya pula yang buat.
Pihak sana sudah pegang ekonomi bukannya sedikit, tapi ekonomi seluruh dunia.
Jadi kita terus dengan cara kita, dengan berdoa, doa itu senjata utama kita, dan berkongsi kesedaran seperti hantaran yang dibuat oleh Khairul Aming. Itu cara yang sepatutnya sebab kita mahu orang ramai lebih memahami secara mendalam mengapa kita melakukan semua ini.