berita

‘Kakak, Pulanglah Ke Rumah’ – Keluarga Buntu Cari Remaja Lari Rumah, Dipercayai ‘Burnout’ Jaga Ibu Sakit

August 21st, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Cikgu Fadli Salleh

Beberapa bulan yang lalu, aktivis sosial Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, Cikgu Mohd Fadli Salleh ada berkongsi mengenai keadaan seorang pelajar tahun enam yang jarang hadir ke sekolah di hantaran Facebooknya.

Difahamkan, pelajar yang dikenali sebagai Iman itu perlu menggalas satu tanggungjawab yang besar bersama kakaknya iaitu menjaga ibu mereka yang terlantar sakit di rumah akibat angin ahmar.

Artikel Berkaitan: Cikgu Fadli Salleh Siasat Pelajar Tahun 6 Jarang Datang Sekolah, Rupanya Jaga Ibu Sakit Strok

Kakak didakwa lari rumah

Cikgu Fadli Salleh

Terbaharu, Cikgu Fadli berkongsi pula keadaan terkini selepas beberapa bulan memberikan bantuan kepada Iman sekeluarga.

Menurut Cikgu Fadli, kakak kepada Iman yang berusia 17 tahun disyaki melarikan diri dari rumah dipercayai kerana terlalu penat menggalas tanggungjawab sebesar itu di waktu usianya yang masih muda.

Kakak yang berusia 17 tahun dah berhenti sekolah sejak beberapa tahun lepas. Masalah kemiskinan, ibu yang sakit terlantar buatkan anak itu tidak ke sekolah.  Dia awalnya bekerja untuk mencari duit saku buat keluarga. Namun akhirnya berhenti, dan banyak masa diluang untuk jaga ibu terlantar.

Anak remaja perlu galas tanggungjawab besar dah. Hari demi hari, dia makin rasa terbeban. Terlalu besar tanggungjawab yang dia perlu galas hingga anak remaja ini give up. Dia mengalah. Tak sanggup lagi nak jaga ibu yang terlantar.

Beberapa bulan lepas, kakak yang usia 17 tahun lari dari rumah. Meninggalkan adik perempuan usia 12 tahun, abangnya dan si ibu yang terlantar.

Tambah Cikgu Fadli lagi, apa yang merisaukannya ialah kemungkinan kakak kepada Iman itu melarikan diri dengan cara mengikut teman lelaki yang dikhuatiri berupaya untuk melakukan perkara yang tidak diingini kepadanya.

Bukan itu sahaja, gadis berusia 17 tahun itu juga tidak lagi menggunakan nombor telefon yang boleh dihubungi ahli keluarga.

Entah ke mana pergi si kakak. Nombor telefon dah ditukar. Nak cari entah di mana. Kemungkinan besar kakak ikut teman lelaki. Itu kemungkinan yang ada. Kakak gadis remaja yang cantik. Memang ramai lelaki sanggup jaga.

Bila kakak tiada, adik memang tak ke sekolah kerana perlu jaga ibu setiap masa. Bila aku tahu hal ini, aku carikan orang yang boleh jaga si ibu agar anaknya dapat ke sekolah.

Tapi si kakak masih belum pulang. Ini yang menjadi kerisauan juga. Apa nasib anak remaja itu agaknya? Risau dipergunakan lelaki tak bertanggungjawab yang hanya nak ambil kesempatan pada tubuh badan gadis remaja bawah umur ini.

Kakak. Pulanglah ke rumah. Cikgu tahu kakak penat selama ini jaga ibu. Cikgu tahu kakak dah exhausted dah sebenarnya. Dah betul-betul burnout dah pun.

Rayu pulang ke rumah

Cikgu Fadli Salleh

Dalam pada itu, Cikgu Fadli memaklumkan bahawa si kakak sudah tidak perlu risau lagi dengan tanggungjawab besar untuk menjaga ibunya kerana segala bantuan telah pun diberikan.

Aktivis sosial itu juga berharap agar si kakak membaca luahnnya itu dan merayu agar gadis tersebut untuk pulang semula ke rumah.

Cikgu dah aturkan pembantu datang ke rumah setiap hari jaga mak, jaga makan minum kalian. Beras habis, cikgu belikan. Lauk pauk tiada, cikgu usaha carikan. Yang pasti, kalian tidak sesekali akan kelaparan.

Pulanglah kakak. Kakak jangan ikut gelora jiwa remaja. Orang diluar ramai nak rosakkan kakak sahaja. Nak ambil kesempatan, dan di suatu masa kakak akan dibuang.

Pulanglah ke pangkuan keluarga. Duduk dengan adik, abang dan ibu. Keselamatan lebih terjaga, maruah dan kesucian pun terlindung.

Di akhir hantarannya, guru berusia 40 tahun itu menitipkan ucapan terima kasih buat semua yang terlibat kerana sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membantu keluarga yang memerlukan.

Posting Facebook

Sumber: Facebook 

SKIP THIS AD ×