Di Moscow, seorang kanak-kanak berusia 8 tahun terpaksa menjalani pembedahan selepas lututnya ditumbuhi ‘akar’ kerana didenda melutut terlalu lama di atas benih gandum.
Lutut ditumbuhi akar
Menerusi laporan Daily Mail, kanak-kanak Rusia itu dikatakan telah didenda oleh calon bapa tirinya, Sergey Kazakov dengan memaksanya melutut selama 9 jam di atas benih gandum.
Tindakan kejam itu menyebabkan lutut mangsa yang berdarah itu ditumbuhi dengan benih sehingga berakar. Menurut sumber juga, mangsa dikatakan sering dihukum dan didenda sekiranya dia pulang lewat ke rumah atau melakukan ‘kesalahan kecil’.
Buat eksperimen denda dari Internet
Tidak cukup dengan itu, mangsa kemudian ditendang dan rambutnya ditarik oleh calon bapa tirinya ketika dia sedang dihukum. Apa yang lebih mengejutkan apabila ibu kandung mangsa, Alina Yumasheva mengakui dia bersetuju anaknya didenda seperti itu.
Alina memberitahu dia sengaja melakukan denda tersebut sebagai eksperimen selepas melihat cara hukuman itu di Internet. Dia kemudian nekad untuk mencuba hukuman itu ke atas anak kandungnya sendiri.
Saya melihatnya sendiri dan cuba melakukan eksperimen. Saya melutut di atas benih gandum itu dan ia tidaklah begitu menyakitkan. Jadi saya membenarkan suami mendenda anak dengan cara itu.
Kejadian kejam itu disedari oleh jiran tetangga selepas kanak-kanak itu melarikan diri dari rumah dan meminta pertolongan mereka. Jiran tetangga kemudian bertindak menghubungi doktor supaya mangsa dapat dirawat.
Calon bapa tiri ditahan reman
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital di Omsk dan doktor memaklumkan bahawa tumbuhan yang ada pada lutut mangsa perlu dibuang melalui pembedahan ‘general anaesthetic’ di hospital berkenaan.
Sementara itu, Kazakov telah ditahan reman dan didakwa kerana melakukan penyeksaan terhadap kanak-kanak tersebut. Manakala ibu mangsa pula dihalang meninggalkan rumah susulan siasatan jenayah terhadap kes terbabit.
Sumber: Daily Mail, The Sun, Mirror Uk