berita

‘Kalau Karam Macam Mana?’ – Isteri ‘Berat’ Suami Mahu Ke Laut

June 30th, 2020 | by Arini Saleh
Kini Trending

Sebuah bot memuatkan kira-kira 20 pemancing dilaporkan terbalik dibadai ribut dan ombak besar. Kejadian yang berlaku di kawasan perairan Bachok Kelantan itu mengorbankan empat nyawa, empat masih hilang dan 12 orang selamat. Isteri kepada salah seorang mangsa maut, Mohd Syafizam Daud meluahkan rasa sayu.

Hilang kekuatan

Foto: Harian Metro

Memetik laporan Harian Metro, isteri yang dikenali sebagai Rosmaliza Mohd Rosdin ada merayu suami supaya tidak ke laut. Namun, suami berjanji akan pulang.

Kira-kira 4 pagi tadi, anak saya mengejutkan saya memaklumkan keadaan suami sebelum saya menghubungi anak saudara suami bagi mendapatkan pengesahan.

Allahuakbar…. sehingga kini saya seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku terhadap suami. Saya hilang kekuatan kerana selama ini sejak berkahwin, suami akan menghantar ke tempat kerja setiap hari.

Saya merayu kepada suami sejak beberapa hari lalu supaya tidak ke laut kerana bimbang keadaan cuaca yang tidak menentu.

Namun, suami tetap mahu pergi sambil memujuk saya dan berjanji akan pulang ke rumah tengah hari ini.

Dia ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu mengakui berasa berat dan berdebar-debar untuk melepaskan suami ke laut. Kali terakhir mereka berjumpa pada jam 1 tengah hari semalam.

Sempat bergurau

Foto: Harian Metro

Suami begitu teruja untuk keluar mencandat sotong. Malah ketika tiba di Jeti Kuala Besar, suami sempat membuat panggilan video dan memaklumkan akan bertolak tidak lama lagi.

Malah, saya sempat bergurau sekiranya karam di laut macam mana? Suami menjawab insya-Allah dia akan selamat dan akan sampai ke rumah tengahari ini.

Saya tidak sangka akan kehilangan suami sekelip mata. Suami seorang yang sangat baik dan kami sempat bermaafan sebelum suami bertolak.

Tambahnya lagi, suaminya sangat menggemari aktiviti ke laut dan sudah lama tidak keluar memancing.

Sumber : Harian Metro

The following two tabs change content below.

Arini Saleh

Content Champion at Rev Asia Berhad
'Writing is my passion, not my job' - AE Croft