Penyanyi, Shila Amzah mengakui berasa sedikit terkilan apabila tidak berpeluang menghadiri konsert penyanyi idolanya, Fauziah Latiff iaitu 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert yang berlangsung Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan: ‘Terima Kasih Kerana Tak Halang Ibu Terbang Tinggi’ – Shila Amzah Luah Kasih Buat Seth & Leia

Peminat Kak Gee

Shila, 37, berkata dia sebenarnya berhajat untuk hadir memberikan sokongan kepada penyanyi yang mesra disapa Kak Gee itu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana konsertnya sendiri berlangsung pada hari sama.

Kalau konsert saya tak bertembung dengan konsert Fauziah Latiff, memang saya akan datang. Saya tahu hampir 90 peratus lagu-lagu dia. Mak saya tahu betapa saya meminati dia sejak kecil lagi.

Dalam pada itu, pelantun lagu Patah Seribu itu turut mengimbau kenangan membesar dengan lagu-lagu nyanyian Fauziah yang disifatkannya sebagai antara penyanyi wanita paling ikonik tanah air.

Korang yang tak pernah tengok persembahan live Kak Gee (Fauziah) dulu memang tak tahu betapa lincahnya dia menari atas pentas dengan gerak tari dan auranya tersendiri.

Saya masih ingat dia pernah ada satu album bertajuk Fauziah Latiff dan kulit album itu diedit menggunakan pose-pose badan dia yang membentuk setiap huruf nama penuhnya. Memang kreatif dan ikonik.

Shila turut mendedahkan antara lagu Fauziah yang paling dekat di hatinya adalah berjudul Aku Sebutir Pasir dan menyifatkan karya tersebut cukup bermakna buat dirinya.

Kalau korang perlukan lagu yang boleh bagi semangat, cuba dengar Aku Sebutir Pasir. Lagu itu sangat indah.

Terima kasih Kak Gee sebab menjadi sebahagian daripada zaman kanak-kanak saya. Mak cakap dulu saya selalu panggil Kak Gee sebagai ‘Aunty Gee’, tapi saya lebih selesa panggil ‘Kak Gee’.

Sabtu lalu, Resonance: Shila Amzah in Harmony 25 Years of Music and Memories telah berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, manakala 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert pula diadakan di Dewan Plenari KLCC.

Sumber: Threads