Selepas hampir dua minggu pemergian anak, bapa Ashraf Sinclair meluahkan rasa sayu di laman sosial miliknya. Mohamed Sinclair atau lebih mesra dengan panggilan Pak Mat, berasa sangat kehilangan dan mengakui perasaannya seolah-olah sudah mati.
Walaubagaimanapun, dia berterima kasih dan terharu dengan orang ramai yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat buat mereka sekeluarga. Sebak.
Perasaan saya mati
Kehilangan, dari perspektif seorang bapa.
Sudah hampir dua minggu kamu tiba-tiba meninggalkan kami, Ash. Malam kelmarin merupakan malam tahlil terakhir, sebelum tibanya 40 hari. Pada hari pengebumian kamu, saya ditanya apa perasaan saya, saya tak ada jawapan, saya tak ada ayat untuk menggambarkan perasaan saya ketika itu. Tetapi, kamu tahu apa perasaan saya sekarang ini? Saya sebenarnya kena berhenti sekejap dan fikir bagaimana untuk terjemahkan perasaan itu.
Perasaan saya mati. Saya jalani hidup seperti biasa tetapi kebanyakan warna dari hidup saya sudah hilang. Saya boleh ketawa, senyum, bermesra dengan rakan dan keluarga, ambil gambar di majlis tahlil tetapi semuanya saya lakukan kerana saya perlu ‘begitu’. Lebih-lebih lagi senyum saya pada malam tadi.
Saya sangat tersentuh dengan kata-kata orang ramai, mereka beritahu saya bagaimana Ashraf beri impak yang besar dalam hidup mereka. Ada seseorang menghantar emel kepada saya, dia tidak mengenali Ashraf atau Bunga tetapi dia faham bagaimana rasanya seorang bapa kehilangan anak tersayang. Terima kasih Tuan. Saya sangat sebak. Saya cuba untuk membalas semua ucapan, ianya adalah satu terapi bagi saya, saya tidak terasa kosong.
Saya tak berdaya, saya nak ‘gantikan’ nyawa kamu
Perasaan saya mati, sehinggalah rasa sakit, kehilangan dan sayu itu menikam diri saya. Kadang-kadang rasa sakit itu biasa, kadang-kadang saya rasa sangat sakit yang tidak tertahan. Saya cuba tanganinya dengan tenang, sebagaimana perasaan itu tiba-tiba menerpa, sebegitu jugalah saya cuba bertenang. Itu yang saya rasa, bagaimana pula dengan isterinya Bunga dan anak tunggalnya, Noah, yang berusia 9 tahun?
Satu lagi perkara yang sangat menghiris bukanlah persoalan ‘mengapa’, tetapi perasaan ‘tidak berdaya’. Saya tidak berdaya untuk menghilangkan rasa sedih yang dirasai orang lain, saya tidak berdaya untuk putarkan kembali waktu, saya tidak berdaya untuk menukar nyawa saya dengan Ashraf, sebagaimana semua bapa akan lakukan.
Anakku Ashraf, kamu telah pergi meninggalkan kami, kami sedaya upaya untuk menerima takdir ini. Walaupun kami sangat sedih, kami tahu kamu sekarang ini berada di tempat yang sangat indah. Selain daripada tidak putus berdoa, ada satu perkara yang kami boleh buat iaitu imbau kembali kenangan manis kita bersama. Kami berterima kasih dengan segala yang telah kamu buat kepada kami sepanjang 40 tahun hidupmu.
Saya terima semua ini sebagai takdir Allah SWT. Sementara kamu di sana Ash, sediakan kami satu tempat di syurga buat kita sekeluarga. Semoga Allah merahmati kamu Ash, terima kasih untuk segalanya.
Sumber : Mohamed Sinclair