
Pelakon, Kamal Adli dilaporkan masih berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya bersama isteri, Uqasha Senrose meskipun ketika ini berdepan kemelut.
Artikel Berkaitan: ‘Mungkin Ini Pengakhiran Uqasha’ – Peguam Dedah Punca Cerai Tiada Persefahaman Dengan Kamal Adli
Artikel Berkaitan: Uqasha Senrose Harap Kamal Adli Beri Kerjasama, Peguam Dedah Tiada Pujukan
Selamatkan perkahwinan

Peguam mewakili Kamal iaitu Abdul Hadi Mohamad Salleh berkata, aktor itu menunjukkan kesungguhan untuk mempertahankan perkahwinan mereka dan sedang berusaha dengan cara tersendiri.
Daripada perbincangan kami, Kamal memang mahu pertahankan perkahwinan. Saya yakin dia sedang berusaha, cuma saya tidak pasti bagaimana ia dilakukan kerana itu urusan peribadi mereka.
Abdul Hadi menjelaskan lagi, pelakon berusia 38 tahun itu kini berada dalam keadaan baik dan sudah melantiknya sebagai peguam selepas dimaklumkan mengenai permohonan cerai yang difailkan Uqasha pada 1 Oktober lalu.
Setakat ini Kamal dalam keadaan baik. Dia tahu tentang permohonan cerai itu dan selepas itu terus melantik saya untuk mewakilinya.
Dalam permohonan berkenaan, alasan yang dinyatakan ialah ketidaksefahaman dan masalah berpanjangan, tetapi tidak dinyatakan sejak bila berlaku.
Diminta mengulas dakwaan pasangan berkenaan sudah tidak tinggal sebumbung, Abdul Hadi berkata dia tidak dapat mengesahkan perkara itu.
Dalam alasan permohonan tidak disebut sama ada mereka tinggal bersama atau tidak, jadi saya tak boleh komen lanjut.
Ditanya mengenai kenyataan Uqasha di Instagram yang menimbulkan kekeliruan mengenai status perkahwinan mereka, Abdul Hadi berkata dia juga masih belum meneliti hantaran tersebut.
Saya belum semak lagi hantaran yang dimuat naik Uqasha, jadi saya tak dapat ulas buat masa ini.
Terdahulu, mahkamah menetapkan 28 Oktober sebagai tarikh baharu untuk prosiding seterusnya kes perceraian Uqasha dan Kamal.
Keputusan itu dibuat oleh hakim susulan ketidakhadiran pihak defendan iaitu Kamal pada prosiding pertama.
Menurut peguam yang mewakili Uqasha, permohonan cerai difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada persefahaman antara pasangan terbabit.
Imbas kembali, Uqasha dan Kamal sah bergelar suami isteri pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang. Pasangan itu kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.








