berita

Kami Kongsikan 10 Kisah Inspirasi Usahawan Tempatan Untuk Korang Jadikan Pembakar Semangat!

January 26th, 2021 | by Sya Alkaf
Shout Out!

Dunia perniagaan adalah satu bidang yang luas dan penuh risiko untuk diceburi. Mereka yang hendak menceburi bidang ini perlulah berhati kental dan sedia menerima sebarang cabaran mendatang.

Khusus buat korang yang bercita-cita mahu memulakan perniagaan sendiri, di sini kami kongsikan 10 kisah inspirasi usahawan tempatan yang boleh korang jadikan panduan untuk mengemudi perniagaan sendiri nanti.

Realiti tak sama seperti teori – Wan Abd Halim Bin Ismail

Pengasas Jenama Wansha daripada Mairasa Foods Sdn Bhd, Abd Halim berpendidikan dalam bidang pemasaran dan perdagangan antarabangsa daripada Universiti terkemuka di Amerika. Sekembalinya ke tanah air, Abd Halim sempat menceburi bidang media dan teknologi sebelum memulakan jenama makanannya yang diusahakan bersama isteri tersayang, Shaharina Mohd Alias.

Washa yang popular dengan produk seperti bawang goreng, bawang putih goreng serta rempah sup utara mempunyai pelanggan tetap berikutan rasanya yang unik dan berbeza dengan produk lain di pasaran.

Bercerita mengenai cabaran dan persaingan, pada permulaan dia mengalami kesukaran untuk menguruskan perbelanjaan modal kerja serta pemasaran dan promosi produk. Sementara persaingan perniagaan pula bukanlah masalah utamanya, isu yang lebih besar adalah kapisiti bangunan untuk proses penghasilan produk yang lebih baik.

Swot Analysis memainkan peranan penting dalam memasikan sesuatu perniagaan dapat bertahan di pasaran. Juga jangan malu untuk dapatkan nasihat daripada mereka yang lebih tua dan berpengalaman, hakikatnya realiti perniagaan sebenar tidak sama seperti teori,” kata Abd Halim.

Facebook: wanshafoods

jadikan pesaing sebagai kelebihan untuk menambah baik produk – Mohd Nizam

 

“Tempoh ketahanan produk tidak lama sukarkan perniagaan” Ujar Mohd Nizam, 43,pemilik TFN Brownies. Namun dia tidak pernah berpatah semangat. Malah, mencari jalan untuk dapat terus kekal dalam pasaran perniagaan dengan menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan produk yang tahan lebih lama.

Bermula dengan penjualan kuih raya dari tahun 2006,  mereka mengambil tempoh 2 tahun, mencurahkan segala ilmu dan masa untuk proses R&D brownies tersebut. Pelbagai aspek diambil kira dari segi pembungkusan, bentuk, rasa, resipi dan segala-galanya!

Akhirnya, lahirlah TFN Brownies Cookies! Dari Brownies biasa ke Brownies Cookies dengan rasa dan juga resipi yang enak! Berbeza dari yang lain, Mohd Nizam menjadikan pesaing mereka sebagai kelebihan untuk menambah baik produk mereka dengan menjadikan produk pesaing sebagai contoh.

Website: https://www.tfnbrownie.com/

Facebook: tfnbrownieofficial

Instagram: tfnbrownie.hq

Jangan cepat putus asa – Marmiza binti Che Omar

Ibu kepada 3 orang cahaya mata, Marmiza pernah bekerja dalam sektor korporat di Kuala Lumpur sebelum menceburi bidang perniagaan secara sepenuh masa dengan memperkenalkan pes makanan di bawah jenama REHAN (Rasa Enak Himpunan Aroma Nusantara).

Ujar Marmiza “Tercetusnya produk REHAN seperti rempah campuran Rendang Rembau, Kari Melayu, Sup, Soto, Goreng Serbaguna dan pes masakan segera kerana kami ingin memperkenalkan semula makanan warisan Melayu kepada generasi baru dan memudahkan ibu bapa untuk memasak di rumah setelah seharian penat bekerja.”

Meskipun berdepan cabaran mendapatkan bekalan dengan harga berpatutan ketika permulaan perniagaan, Marmiza tidak pernah berputus asa. Dia juga memulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan dari rumah sebelum mempunyai mempunyai premis sendiri.

Kini, produk REHAN boleh didapati di AEON, SOGO, Malakat Grocer dan halalmart. “Sementara pembelian secara dalam talian boleh dilakukan di Shopee, Lazada, HalalFood Master, SoukAsia, AgroBazaar, Alibaba, Karavanserai halalhub dan laman web rasmi REHAN food.”

Walaupun jenama REHAN boleh dianggap masih baru namun produk mereka telah mula mendapat tempat di hati pelanggan dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Lebih membanggakan REHAN juga pernah mewakili Malaysia dalam OIC Halal Expo di Turkey.

Laman web: rehanfood.com

Facebook: rempahREHAN

Ubah cara pemikiran – Sofea Chan Shu Fen Abdullah

Setelah sekian lama menyimpan impian menjadi seorang usahawan akhirnya Sofea Chan memutuskan untuk tampil dengan produk jenama sendiri. Dia yang kini mengusahakan jenama POPYUMMY mengetengahkan snek seperti Seaweed Crackers dan Crispy Churros Stixs.

Mengakui dirinya masih lagi belajar selok-belok perniagaan dan cara persaingan yang betul, Sofea Chan berusaha sehabis baik untuk beradaptasi dengan norma baru dalam bidang pemasaran. Terutama sekali melalui saluran media sosial yang semakin canggih.

“Segala pengalaman lampau seperti sudah tidak relevan lagi. Sudahlah saya memulakan perniagaan dengan tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang pemasaran dan selok-belok pengurusan yang berkesan, ditambah pula dengan teknologi terkini yang asyik berubah pantas ikut trend, saya terpaksa bermula dari awal dengan mengikuti pelbagai kursus dan banyak masa digunakan untuk sesi trial and error.

Walau begitu, Sofea Chan mengakui dia berpuas hati apabila produk yang dihasilkan daripada resipi sendiri mendapat pujian ramai. Bila ditanya mengenai nasihat buat usahawan baru pula dia berpesan untuk sentiasa kekal up-to-date dengan teknologi dan info semasa “Ubah cara pemikiran, be flexible to stay relevant.”

Facebook: EatzyBites

Jadi unik, jual produk lain dari yang lain – Zaidah Binti Khuzaini

Zaidah yang berasal dari Felcra Changkat Lada, Perak mempunyai Diploma dalam bidang Secretary and Administration namun dia memilih untuk menjadi seorang usahawan dengan memasarkan kuih Bakar Durian, Labu dan Pandan beku berjenama Periuk Kite.

Berdepan dengan masalah kekurangan modal ketika memulakan perniagaan tak menjadi batu penghalang buat Zaidah untuk terus berusaha. Sehinggalah sekarang Periuk Kite merupakan salah satu jenama yang boleh didapati di pasaraya popular seperti Sogo, The Store, Pacific Mall, Malakat Mall dan Pasaraya Ikhwan.

“Jika hendak memulakan perniagaan sendiri kita perlu jadi lebih unik dan pasarkan produk yang lain daripada produk sedia ada di pasaran. Paling penting, produk tersebut perlulah mempunyai nilai komersial dan boleh dipasarkan,” saran Zaidah buat usahawan baru.

Facebook: periukkite

Cari peluang untuk berjaya – Zukahida Kasim

Permintaan kek dengan harga mampu milik dalam kalangan masyarakat menjadi salah satu punca utama Zukahida dan Onnie Zurin mengusahakan perniagaan kek dan pastri jenama Frutissimo. Mereka mengeluarkan pelbagai jenis manisan termasuklah kek buah, brownies, buttercake, kek coklat dan biskut. Malah, Frutissimo juga sedia menerima tempahan kek untuk sambutan hari jadi.

“Dari segi persaingan, kami merupakan satu-satunya supplier PKS Bumiputera yang perlu bersaing dengan jenama bukan Bumiputera di Bakeri Hypermarket, namun hal ini tidak pernah sekali pun mematahkan semangat kami. Malah, ia dijadikan sebagai motivasi agar kami dapat terus bekerja keras demi menghasilkan produk berkualiti tinggi setanding jenama lain,” jelas Zuraida.

Berkat usaha berterusan, Frutissimo berjaya membekalkan pastri ke 9 cawangan Aeon Big dan lebih 70 cawangan Kedai Mesra Petronas di Selangor serta seluruh Lembah Klang. Lebih manis lagi, mereka juga menerima pengiktirafan seperti Anugerah Ikon usahawan KPDHHEP 2019, Anugerah SME World Halal Excellent Award 2020 dan Anugerah Usahawanita Berdaya 2018.

Pesan Zuhida “Bagi memulakan sebuar perniagaan kita perlu sentiasa mencari ilmu dan peluang untuk terus berjaya.”

Shopee: shopee.com.my/kolamemas

Fokus dengan apa yang diusahakan – Muhamad Hazim Bin Hassan

Sebut sahaja Wondercheese mesti ramai yang dah sedia maklum dengan snek popular ini kan? Tapi mesti tak ramai tahu ianya diusahakan seorang anak muda berusia 33 tahun yang dikenali sebagai Hazim

Pernah dikatakan gila kerana menjual kerepek dengan hargar RM25 sebalang, Hazim membuktikan bahawa impiannya bukanlah satu angan-angan kosong. Dengan strategi pemasaran yang betul, dia berjaya membuat jualan mencecah RM5.2 juta setahun.

Mengulas mengenai persaingan dalam pasaran, Hazim menegaskan persaingan sihat itu penting untuk terus bertahan.

“Selepas 3 tahun dalam pasaran, banyak pesaing tumbuh bagai cendawan lepas hujan tetapi kami fokus dengan apa yang kami buat, Alhamdulillah ternyata kami dapat bersaing secara sihat dan bertahan sehingga kini. Pesan saya supaya terus fokus dengan apa yang diusahakan, jangan mudah terganggu dengan orang lain.”

Laman web: wondercheese88.com

Facebook: WonderCheeseMY

Adat perniagaan untung & rugi – Mohd Redhua Abd Aziz

Berbekalkan pendidikan SPM, anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan, Mohd Redhua tekad mengeluarkan makanan ringan melalui jenama sendiri RIRAF, impiannya untuk memasarkan kuaci rangup yang diadun dengan resipi tersendiri keseluruh pasaran Malaysia.

Biarpun kekurangan modal pusingan Mohd Redhua percaya dia perlu lebih berani dalam mengambil risiko “Jangan takut untuk laburkan modal kerana sudah menjadi adat perniagaan ada untung dan rugi.”

Tambahnya lagi “Persaingan sihat adalah penting, kemudian fokus pada kaedah pemasaran yang betul demi meningkatkan hasil jualan.”

Facebook: kuacirangupriraf

Pengalaman, ilmu paling berharga – Fatihah Anis binti  Ibrahim

Dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam menghasilkan kuih-muih tradisional sejuk beku, Fatihah terus cekal meneruskan empayar perniagaan yang diusahakan sehingga hari ini. Status ibu tunggal yang dipikul tidak pernah menjadi penghalang buatnya. Kini, jenama Fatihah merupakan pembekal terbesar kuih-muih sejuk beku di Malaysia.

Fatihah tidak menafikan, perjalananya sepanjang 35 tahun tidaklah mudah. Ada masa mereka diuji dengan cabaran “Masa mula meniaga dahulu, semuanya berjalan lancar. Produk kami mendapat sambutan baik dan luar biasar. Namun, apabila perniagaan semakin membesar syarikat mula mengalami kesukaran dalam mengendalikan pemasaran.”

Sepanjang berkecimpung dalam bidang perniagaan jenama Fatihah telah berjaya meraih beberapa Anugerah berprestij seperti Anugerah Teknoprenuer Mardi 2018, Lulu Hypermarket Top 5 Sales Bumiputera 2019 dan Penghargaan Khas Mydin – 2019

“Walau apa pun yang dilakukan jangan mudah berputus asa. Pengalaman adalah ilmu yang paling berharga jadi belajarlah daripada pengalaman sendiri dan orang-orang disekeliling kerana ia membantu kita dalam membuat sebarang keputusan berkaitan perniagaan,” saran Fatihah.

Laman web: www.fatihahfrozenfood.my

Facebook: FatihahFrozenFoodMalaysia

Kenal pasti keperluan pasaran – Nurazlina Abu Bakar

Mengambil inspirasi daripada nougat Taiwan, siapa sangka Nurazlina kini berjaya meraih pendapatan dengan menjual nougat susu buatan sendiri di bawah jenama Naurel Nougat. Lebih istimewa, ia dibuat menggunakan resipi asal keluarga di China.

Ibu kepada 3 orang anak ini terdahulu mendapat pendidikan dalam bidang senibina dan alam sekitar di UIAM sebelum mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

“Saya memulakan bisnes ini secara kecilan di rumah semasa tempoh menunggu panggilan Viva-voce. Dari situ permintaan semakin bertambah hingga ada permintaan dari Korea untuk mengimport produk ini ketika itu.” Namun, disebabkan kekangan masa, tenaga dan modal hasrat itu terpaksa dia tangguhkan.

Berbicara mengenai persaingan Nurazlina sedikit lega kerana kebanyakkan produk nougat susu yang ada di pasaran tidak diperakui halal. “Boleh dikatakan hanya kami pembuat nougat susu yang mempunyai sijil Halal JAKIM,” ujarnya.

Lambakkan produk jualan di pasaran sekarang menjadikan persaingan semakin sengit diantara perniaga, jadi Nurazlina percaya untuk sesebuah perniagaan mendapat tempat di hati pembeli mereka harus mengenal pasti terlebih dahulu produk yang diperlukan pasaran ketika ini.

Shopee: https://shopee.com.my/asianbitesplt

Jom beli barang buatan tempatan!

Haa mesti korang semua dah semakin bersemangat dan terinspirasi lepas baca kesemua kisah peniaga yang kami kongsi kan? Melalui perkongsian mereka, kita dapat lihat kejayaan tak datang bergolek guys. Semuanya perlukan usaha dan kerja keras.

Jadi, apa salahnya kalau kita mainkan peranan untuk sokong perniagaan yang diusahakan rakyat tempatan kita. Semua barang keluaran tempatan tak kurang hebatnya tau. Malah, setanding antarabangsa lagi!

Selamat membeli!

SKIP THIS AD ×