Di Sulawesi Barat, Indonesia, sejumlah murid di sebuah sekolah rendah membuat aduan kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) selepas mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran.
Guru tidak hadir
Menerusi laporan Kompas, kebanyakan guru di sekolah tersebut tidak hadir untuk mengajar. Susulan daripada itu, sejumlah murid bersepakat untuk melakukan aduan dan menghasilkan poster agar luahan mereka didengari oleh semua pihak. Bukan itu sahaja, aduan yang ditulis khas buat Jokowi turut mencuri perhatian netizen di media sosial.
Pak Jokowi, kami jarang ke sekolah kerana banyak guru tidak hadir mengajar. Kami memerlukan pendidikan yang sewajarnya dan kami perlukan guru yang sentiasa hadir ke sekolah untuk membimbing kami.
Menurut seorang pengguna Facebook iaitu Achmad, dia tidak menyangka masalah dalam sistem pendidikan seperti ini masih berlaku. Achmad turut mempersoalkan kesejahteraan guru sambilan di sekolah tersebut yang hanya dibayar gaji sebanyak RM89 bagi setiap tiga bulan.
Di sekolah itu, hanya tiga guru sukarelawan yang datang mengajar setiap hari dan mereka mengajar secara bergilir. Guru lain di mana? Apa yang mereka buat? Bagaimana tiga guru boleh ajar semua kelas?
Di samping itu, Achmad turut memaklumkan dia pernah berjumpa dengan guru besar sekolah itu, namun tiada perubahan yang berlaku. Malah, pemuda itu pernah menganjurkan demonstrasi mengenai keadaan di sekolah tersebut agar mendapat perhatian pihak berkepentingan.