Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun disahkan meninggal dunia dipercayai lemas ketika bermandi-manda di sebuah taman tema air di Alor Gajah, Melaka.
Budak lemas di taman tema
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, mangsa yang dikenali sebagai Puteri Sofea Hanis Dania Jamaluddin dipercayai lemas ketika bermain di pinggir kolam berdekatan dengan pulau buatan dengan kedalaman lebih kurang satu meter.
Bagaimanapun ketika melakukan aktiviti dalam kolam yang mana setiap 20 minit akan berombak selama 10 minit, kanak-kanak itu dipercayai lemas.
Mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri telah diberi bantuan kecemasan oleh petugas taman tema berkenaan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Hospital Alor Gajah. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah. Siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Difahamkan, mangsa sedang bercuti bersama ibunya serta rombongan seramai 78 keluarga lain dari Komuniti Kampung Sungai Tuan Seth, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.
Sumber: Sinar Harian, Bernama