Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut selepas tercekik buah rambutan dalam satu kejadian di Kampung Sungai Ling, kelmarin.
Maut tercekik buah rambutan
Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman, mangsa yang dikenali sebagai Nur Iman Fitriah Muhamad Nizam disahkan meninggal dunia oleh Klinik Kesihatan Pekan Tajau, Maran kira-kira jam 8 malam.
Doktor di klinik berkenaan telah mengeluarkan buah rambutan dari mulut mangsa sebelum jenazah dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.
Bedah siasat pada awal pagi tadi mengesahkan kematian mangsa akibat salur pernafasan tersumbat disebabkan oleh sesuatu objek.
Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Jenazah mangsa yang merupakan pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pasir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Cempedak, Maran pada pagi Selasa.
Sumber: Sinar Harian