Foto: Perak Press
Misteri kehilangan seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia enam tahun, akhirnya terjawab apabila mayat mangsa ditemukan terapung di tepi lombong yang terletak kira-kira 80 meter dari rumahnya semalam.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa hilang di rumahnya di Lorong Jaya Taman Kinta Baru, Gopeng, Perak dan memakai baju-T BoBoiBoy berwarna hijau.
Baru je buat kerja sekolah
Menerusi status yang dimuat naik oleh ibu mangsa dikenali sebagai Nur Shamimi Abdul Malek di Facebook, menceritakan dia baru sahaja membuat kerja sekolah bersama-sama anaknya yang dikenali sebagai Muhammad Fayyadh Ukasyah.
Baru ja mama buat kerja sekolah dengan Fayyadh semalam. Allah kuat mana la aku. Dia seorang anak yang periang. Sapa lagi Fayyadh nak bagi mama gelak. Allah kuatkan aku.
Lapor Harian Metro, ibu kepada lima cahaya mata itu menjelaskan Fayyadh merupakan anak yang paling manja dan turut diberi perhatian sepanjang masa.
Selalunya kalau nak tidur dia akan duduk dekat dan pegang kaki saya dahulu baru dia boleh tidur kalau tidak selagi itu dia susah tidur. Apabila bangun tidur juga dia akan mencari saya dahulu dan kemudian baru dia buat benda lain.
Ujar Shamimi, ketika kejadian hanya dia bersama anak-anak berada di rumah manakala, suaminya berada di tempat kerja dan dia ketika itu sedang mandi. Namun begitu, dia mejelaskan kedua-dua pintu rumah dan pagar sudah dikunci.
Cari dekat taman anak selalu main
Foto: Perak Press
Mengulas lebih lanjut, wanita ini turut bertindak mencari anaknya di taman berdekatan yang selalu menjadi tempat anaknya bermain.
Salah seorang anak berada di luar dan semasa saya sedang mandi abang membukakan pintu dan terlupa hendak menutup balik dan terus masuk ke dalam bilik. Apabila keluar bilik air saya melihat pintu rumah dan pagar terbuka dan mendapati Muhammad Fayyadh tiada lantas terus menyuruh abangnya pergi mencari tetapi tidak jumpa.
Saya tidak terfikir dia boleh sampai ke lombong itu kerana selalunya dia akan bermain di taman permainan itu sahaja. Semalam kami sekeluarga mencarinya sehingga jam 4.30 pagi dan ketika itu kami memang tidak menemui sebarang petunjuk.
Bapa kepada mangsa, Abdul Wahid Shah bergegas pulang ke rumah selepas mendapat tahu berita kehilangan anak keduanya itu.
Sumber: Harian Metro & Mimie Rayyan Ukasyah