Sudah jarang muncul di kaca televisyen bukan bermakna pengacara dan pelakon Karl Shafek sudah mengundurkan diri dari industri hiburan.
Artikel Berkaitan: Minta Jadi ‘Muse’ Saat Akhir, Karl Shafek Kecewa Dengan Datuk A
Tidak bersara
Ketika ditemui OhBulan!, Karl akui dia sibuk membangunkan perniagaan jenama fesyen, Neonate Clothing Company yang ditubuhkan sejak tahun 2019.
Bagaimanapun, Karl, 42, berkata dia masih sayangkan kerjayanya sebagai selebriti terutama dalam bidang pengacaraan.
Mengakui jarang menerima tawaran, pemilik nama penuh Khairul Shafek Ibrahim beranggapan kemungkinan ada yang terfikir dia sudah tidak minat untuk meneruskan kerjaya sebagai anak seni.
Saya dah tumpukan sepenuh perhatian terhadap jenama fesyen, Neonate Clothing Company semenjak 2019. Tapi saya tak pernah umumkan kepada orang ramai yang saya mahu berhenti dalam bidang seni.
Saya kata saya mahu rehat sebentar tetapi kita dilanda pandemik pada 2020. Jadi, saya diamkan diri sekejap dan memberikan tumpuan terhadap jenama saya.
Sudah tentu keutamaan saya dalam bidang pengacaraan. Sepatutnya tahun ini nak buat kemunculan semula dan ada menerima beberapa tawaran.
Tapi ada beberapa komitmen bisnes seperti jenama fesyen dan Dulang Kafe yang perlu saya berikan tumpuan, jadi saya tak dapat kembali ke bidang seni.
Insya-Allah tahun depan kot. Sekarang pun team saya dah semakin besar, bila dah ramai, semua dah faham kerja, segalanya menjadi lebih mudah.
Saya merasakan mungkin ramai yang beranggapan saya dah tak mahu aktif bekerja dalam bidang seni kerana saya jarang dapat tawaran.
Karl berkata demikian ketika ditemui usai pertunjukan fesyen Neonate Clothing Company di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW) di Pavilion Bukit Bintang, baru-baru ini.
50 gaya Neostalgia
Sudah enam kali menyertai KLFW, jenama yang diusahakan oleh Karl bersama rakan baiknya, Syahir Hamdan mendapat slot pertunjukan solo untuk tahun 2022.
Alhamdulillah, sekian lama terlibat dalam KLFW, kali ini kami mendapat slot pertunjukan solo. Pada awalnya kami takut kerana ia bukan mudah, tetapi kami menyahut cabaran ini.
Inspirasinya adalah barang-barang lama. Saya dah Syahir gemarkan sesuatu yang vintaj dan kami terjemahkan ia dalam koleksi yang diberi nama Neostalgia.
Menerusi koleksi kali ini, kami menampilkan 50 gaya Neostalgia dan kami membawa 40 orang model, 10 wajah ilham (muse) dan dua orang supermodel untuk mewakili jenama kami di pentas peragaan.
Antara selebriti yang terlibat sebagai wajah ilham jenama ini adalah Datuk Aznil Nawawi, Puteri Balqis, kesemua anggota kumpulan Dolla, Norreen Iman dan ramai lagi.
Kredit Foto: Taufiq Nadzri