
Karnival Ban Canal 2025 kembali sebagai acara komuniti yang meraikan keindahan alam semula jadi, keunikan budaya serta kekayaan warisan pertanian di Sabak Bernam, Selangor.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fattah & Amira Jadi Contoh, Utamakan Solat Walau Sedang Melancong – ‘Kalau Tak Pegang Tangan Mesti Tengah Jaga Wuduk’
Artikel Berkaitan: Netizen Tegur Hantaran Di Mekah Seperti Melancong, Yaana Lee Tenang Respon – ‘Kalau Tak Mampu, Doa Banyak-Banyak’
‘Alam. Budaya. Lestari’

Karnival Ban Canal 2025 kali ini mengangkat tema ‘Alam. Budaya. Lestari’, sekaligus menekankan sinergi antara pembangunan ekonomi, pemeliharaan warisan budaya dan kelestarian alam sekitar.
Penganjuran ini juga menyokong aspirasi menjadikan Sabak Bernam dan daerah sekiranya sebagai Rizab Biosfera UNESCO, sejajar dengan komitmen negeri Selangor terhadap pembangunan lestari.
Berlangsung selama tiga hari iaitu pada 7 -9 November 2025, Karnival Ban Canal yang bermula pada tahun 2022 itu, telah diiktiraf sebagai acara pelancongan terkemuka apabila berjaya merangkul anugerah ‘Best Tourism Event’ dalam Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2025 (Tourism Industry Award 2025) anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MITDA).
Pengiktirafan berprestij ini mengesahkan komitmen SABDA, MBI dan rakan strategik terhadap pembangunan pelancongan lestari, penglibatan komuniti, serta pemeliharaan alam sekitar di Sabak Bernam.
Bukan sahaja berperanan sebagai platform strategik yang memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan desa dan pertanian, karnival ini juga dilaksana bagi memastikan pemeliharaan biodiversiti dan kesejahteraan komuniti setempat. Ia juga merupakan salah satu projek pemangkin SABDA, seiring dengan pembangunan Sekinchan Integrated Landing Port (SILP) dan Zon Industri Perikanan Sungai Lang.
Simbol sejarah

Lokasi karnival yang terletak di sepanjang Terusan Ban Canal sejauh 30 kilometer telah dibina sejak era penjajahan British bagi pengairan sawah padi kini diangkat sebagai simbol warisan sejarah, ekologi dan pertanian yang signifikan kepada daerah Sabak Bernam.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, penganjuran karnival kali ini adalah langkah strategik memperkenalkan keunikan warisan pertanian dan ekologi Selangor khususnya Sabak Bernam kepada dunia, sekaligus memupuk kesedaran terhadap pentingnya konsep pembangunan hijau dan lestari.
Melalui inisiatif ini, kita berharap dapat memanfaatkan potensi ekopelancongan dan agropelancongan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan, memperkukuh kesejahteraan komuniti desa serta menyumbang kepada ekonomi negeri, menjaga kelestarian biodiversiti dan warisan budaya tempatan.
Kejayaan acara ini akan memperlihatkan sinergi erat antara pihak kerajaan, sektor swasta dan komuniti tempatan, serta mengukuhkan cita-cita negeri Selangor menjadi negeri hijau, makmur dan berdaya tahan infrastruktur dan alam sekitar.
Diharapkan dengan penganjuran karnival ini dapat menzahirkan semangat kebersamaan dalam menyokong pembangunan lestari untuk manfaat generasi akan datang.
Manfaat ekonomi

Sementara itu, Exco Pembangunan Desa, Perpaduan dan Pengguna Merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Sabak Bernam, Datuk Haji Rizam Haji Ismail berkata, Karnival Ban Canal bukan sekadar acara tahunan, tetapi manifestasi semangat komuniti Sabak Bernam dalam mengekalkan warisan dan memajukan ekonomi setempat.
Melalui penganjuran ini, kita memperkukuh identiti daerah sebagai pusat pelancongan berasaskan alam dan pertanian yang lestari.
Saya percaya sasaran 20,000 pengunjung tahun ini akan memberi limpahan manfaat ekonomi yang signifikan kepada masyarakat tempatan serta membuka lebih banyak peluang keusahawanan untuk generasi muda Sabak Bernam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Datuk Ts. Saipolyazan M. Yusop, pula menyifatkan karnival ini sebagai simbol sinergi antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar yang menjadi teras kepada strategi pembangunan negeri Selangor.
MBI, melalui SABDA, akan terus menyokong usaha menjadikan Sabak Bernam sebagai destinasi pelancongan ekologi utama di Malaysia yang berupaya menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam
Untuk info, Karnival Ban Canal turut menampilkan pelbagai program menarik seperti persembahan kebudayaan, pertandingan sukan air, Larian Santai @Bendang, festival makanan, jualan produk tempatan, pameran agro dan eko-tani, serta kempen kesedaran hijau.








